2,000 pegawai, anggota PSP bantu tugas penguatkuasaan semasa PKP

2,000 pegawai, anggota PSP bantu tugas penguatkuasaan semasa PKP

Kira-kira 2,000 pegawai dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseluruh negara ditugaskan bagi membantu menguatkuasakan keselamatan di beberapa lokasi penting sejak penularan wabak Covid-19.

Mereka ditugaskan bagi membantu Ketua Polis Daerah dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut lokaliti yang ditugaskan.

Timbalan Komander PSP, Asisten Komisioner Rosman Kasman berkata, penugasan PSP dalam tugas sedemikian bukanlah asing kerana tanggungjawab serupa turut dilaksanakan oleh keanggotaan jabatan-jabatan lain dalam PDRM.

Menurut beliau, ini juga bagi mengikis persepsi umum yang hanya melihat tugas PSP sebagai pasukan pencegah rusuhan atau dikerah untuk mengawal sesuatu situasi huru hara semata-mata.

“Peranan PSP adalah sebagai elemen sokongan kepada pihak berkuasa dengan memberi bantuan keanggotaan pada Ops Covid misalnya di pusat kuarantin dan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sepertimana jabatan-jabatan lain dalam pasukan polis, PSP turut sama memainkan peranan untuk diatur gerak pada bila-bila masa bagi melaksanakan apa jua penugasan kepolisan yang sepatutnya kita laksanakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Markas 5 PSP Ipoh di Sungai Senam di sini semalam.

Pada lawatan tersebut Rosman turut meninjau lokasi bantuan sumber manusia melibatkan pegawai dan anggota 5 PSP di Pusat Kuarantin Stadium Badminton Majlis Bandaraya Ipoh dan kawasan PKPD Daerah Kinta.

Sumber: Kosmo