2,000 babi hilang cetus tanda tanya

2,000 babi hilang cetus tanda tanya

 

Kehilangan 2,000 babi di 19 buah ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson ternyata mencetuskan tanda tanya buat pasukan pemantau Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS). Ditambah pula ladang-ladang ini mempunyai rekod virus Demam Babi Afrika (ASF) yang menyebabkan 275 ekor telah dilupuskan sebelum ini.

Melalui laporan Harian Metro, difahamkan bahawa binatang ternakan di 19 ladang terbabit telah dibawa keluar oleh pemilik premis secara senyap. Pihak JPVNS juga tidak dimaklumkan oleh pemilik ladang dan sehingga kini ia menjadi tanda tanya adakah babi itu dilupuskan atau berpindah lokasi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir berkata satu laporan polis sudah dibuat berkenaan kejadian tersebut dan pasukannya kini sedang menunggu maklumat lanjut untuk tindakan seterusnya.

Sehingga kini tiada laporan yang mendakwa bahawa babi dari 19 ladang itu dijual kepada orang ramai pada harga murah. Sehubungan itu, pihak JPVNS mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati bagi mengelak sebarang risiko keselamatan.

Sebelum ini, JPVNS melupuskan 275 ekor babi susulan kes pertama ASF di kesan di sebuah ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A. Ia menjadikan baki 19 ladang yang masih beroperasi di kawasan itu dengan anggaran 2,000 ekor babi.