2 tahun usia perkahwinan, Youtuber Ria Ricis fail cerai, tuntut nafkah dan hak penjagaan anak

2 tahun usia perkahwinan, Youtuber Ria Ricis fail cerai, tuntut nafkah dan hak penjagaan anak

 

YOUTUBER terkenal Indonesia Ria Ricis sering menjadi sorotan media gara-gara popularitinya. Memiliki 42.5 juta langganan, digital creator itu kini berhadapan masalah rumah tangga.

Retak menanti belah, Ricis dikatakan telah memfailkan perceraian terhadap suaminya Teuku Ryan walaupun rumah tangga yang dibina baru sahaja mencecah dua tahun.

Memetik laporan dari CNN Indonesia, adik kepada pendakwah, Ustazah Dr Oki Setiana Dewi itu telah membuat permohonan perceraian melalui sistem atas talian yang dikenali sebagai e-court di Mahkamah Agama Jakarta Selatan pada 30 Januari lalu.

Ricis turut menuntut hak penjagaan anak dan nafkah untuk anak perempuannya.

Ricis dengan Teuku Ryan nama sebenarnya Teuku Rushariandi difahamkan sudah setahun tidak tinggal sebumbung. Malah kedua-duanya tidak lagi memuat naik perkongsian di media sosial bersama sejak penghujung tahun 2023.

Pasangan itu terdahulu melangsungkan perkahwinan pada 12 November 2021. Majlis yang berlangsung Hotel InterContinental Pondok Indah, Kebayoran Lama, Jakarta Selatan itu menelan belanja mencecah jutaan ringgit.

Hasil perkongsian hidup, Ricis dan Teuku Ryan dikurniakan cahaya mata perempuan, Cut Raifa Aramoana yang berusia 18 bulan.