2 maut kereta terbabas sebelum terbakar
Dua maut apabila kereta yang dinaiki terbabas sebelum terbakar di Jalan Kampung Colombia, Ayer Tawar, dekat sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.25 petang itu, mayat mangsa lelaki berusia 51 tahun dan wanita 43 tahun itu dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.
Difahamkan, kedua-dua mangsa mempunyai pertalian keluarga.
Tidak lama kemudian, kereta jenis Proton Iswara itu didapati terbakar menyebabkan orang ramai segera menghubungi pihak bomba.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Nasaruddin Abu Bakar, berkata, kedua- dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Sitiawan ke Ayer Tawar sebelum hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik dan pokok di tepi jalan.
“Sebaik pasukan bomba tiba di tenpat kejadian, didapati kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan kenderaan juga sudah terbakar.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, kereta mangsa terbakar 90 peratus dan bomba mengambil masa 20 minit untuk memadam kebakaran itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan masih menjalankan siasatan berkenaan kejadian tersebut.
Sumber: Kosmo