2 lelaki melecur, motosikal rentung

2 lelaki melecur, motosikal rentung

Dua lelaki mengalami lecur teruk selepas motosikal ditunggangi bertembung dan terbakar di Kilometer 12 Jalan Bota Kiri-Teluk Sena di sini pada Selasa.

Kejadian sekitar jam 6.30 petang itu mengakibatkan Ahmad Tarmizie Abdul Kadir, 36, melecur keseluruhan badan manakala seorang lagi Khan Imtiaz, 29, warga Pakistan lecur di kaki, tangan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kejadian berlaku ketika Ahmad Tarmize dalam perjalanan pulang ke rumah di Pasir Kubu dengan membawa bersama minyak petrol dalam raga motosikal.

“Semasa sedang keluar dari simpang kedai berkenaan, motosikal ditungganginya dilanggar sebuah motosikal lain.

“Akibat pelanggaran ini, satu daripada motosikal terbabit terbakar dengan marak ditambah pula dengan petrol di dalam raga mengakibatkan kedua-dua mangsa melecur,” katanya.

Menurutnya, mereka telah dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk rawatan lanjut.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SH