Wanita jana pendapatan sehingga RM21,000 sebulan meniaga guna vending machine IPR
Dengan harga barangan dan ekonomi yang tidak menentu sekarang membuatkan ramai orang mencari pendapatan lebih
Ada yang melakukan dua hingga tiga pekerjaan demi menyara hidup dan keluarga mereka. Disebabkan itu, kerajaan telah memperkenalkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menambah pendapatan bagi golongan B40.
Seperti perkongsian di Facebook yang memaparkan seorang wanita yang menjalankan perniagaan hanya dengan menggunakan mesin layan diri.
Di dalam video tersebut, wanita yang dikenali sebagai Wan Asikin itu memberitahu dia menjalankan perniagaan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dalam kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN).
Ditanya mengenai berapa dia boleh peroleh menerusi perniagaan tersebut, wanita itu memberitahu dia boleh memperoleh pendapatan antara RM13,000 hingga RM21,000 sebulan. Tambahnya, pendapatan bersih sebulan boleh mencecah RM7,000 hingga RM8,000.
Difahamkan, dia meniaga pelbagai jenis minuman tin dan makanan seperti sandwich dan nasi berlauk.
Malah, dia berkongsi telah mula berniaga sejak bulan 10 tahun 2023 dan sudah mencecah RM120,000 sehingga RM130,000.
“Sebelum ini saya meniaga kuih seperti karipap dan popia mini secara atas talian. Ada juga mengambil tempahan tetapi waktu itu hanya meraih pendapatan antara RM300 hingga RM500 sebulan sahaja.
“Saya ada empat orang anak, semuanya lelaki. Mesin layan diri ini sangat bagus untuk saya yang berpendapatan B40. Memang banyak membantu. Lokasi mesin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan di Machang ini juga bagus.
“Pelajar tidak perlu lagi keluar jauh untuk mendapatkan makanan. Mereka boleh turun sahaja daripada bilik dan beli secara terus makanan dalam kuantiti yang banyak, mengenyangkan serta murah melalui mesin ini,” katanya.