19 gelandangan di Ipoh diselamatkan

19 gelandangan di Ipoh diselamatkan

Seramai 19 orang gelandangan diselamatkan dalam Operasi Menyelamat Gelandangan (OMG) yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dengan dibantu oleh Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) semalam.

Operasi bersepadu ini turut melibatkan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Kesihatan Daerah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Imigresen dan polis.

Wanita Perak dalam satu kenyataan memberitahu, ini adalah operasi kedua susulan OMG pertama pada 5 Jun lalu yang telah menyelamatkan 44 orang gelandangan daripada pelbagai latar belakang.

Menurut kenyataan tersebut, kesemua yang diselamat kemudian ditempatkan di Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) Sementara Daerah Kinta di Bangunan Dewan PBSMM, Jalan Kompleks Sukan Ipoh.

“Para penghuni telah dibekalkan dengan barang keperluan diri termasuk pakaian, set mandian, tuala, bantal, selimut dan set sanitasi diri selain diberikan makanan seimbang dan sihat mengikut jadual.

“Pemeriksaan kesihatan berkala pula dilakukan oleh petugas kesihatan manakala JKM merekodkan profil gelandangan untuk membantu mengesan waris mereka supaya mereka dapat kembali ke pangkuan keluarga,” ujar kenyataan tersebut.

Selain mengelak penularan Covid-19, objektif penubuhan PPG ini adalah antara inisiatif kerajaan negeri Perak untuk membantu mengubah sikap gelandangan kembali kepada masyarakat.

Ia termasuklah melalui pengisian program dan aktiviti motivasi, kerohanian, kecergasan yang telah diaturkan oleh agensi-agensi dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan.

Sumber: Kosmo