Selepas 4 kali cuba, pakcik ‘badan sado’ usia 61 tahun akhirnya berjaya tamatkan Ironman
Seorang pakcik berusia 61 tahun membuktikan bahawa umur bukan penghalang untuk berjaya apabila beliau sampai ke garis penamat Ironman 2024 setelah menyelesaikan kesemua disiplin dalam masa 15 jam, 54 minit dan 23 saat.
Dalam video tular yang dimuat naik oleh anaknya di media sosial TikTok, @hakiemtajudin tidak segan berkongsi detik-detik manis bagaimana ayahnya berjaya melengkapkan perjalanan luar biasa Ironman beliau di umur 61 tahun.
Dari berenang sejauh 3.9 km, hingga berbasikal sejauh 180 km, dan akhirnya menamatkan larian maraton 42 km.
Perjalanan ini lebih manis apabila anaknya memutuskan untuk berlari bersama ayahnya pada 3km terakhir sebelum ke garisan penamat.
Menurut .. ini merupakan percubaan ke-4 ayahnya di acara Ironman sebelum boleh berbangga dengan pencapaian terkini bersama ahli keluarga yang turut hadir memberi sokongan.
Dalam video berdurasi seminit lebih yang kini dipenuhi dengan komen-komen kagum netizen, kebanyakan mereka memuji pakcik tersebut yang tidak menjadikan umurnya sebagai penghalang.
Netizen juga kagum dengan kekuatan mental dan fizikal lelaki ini, terutamanya pada usianya yang tidak lagi muda.
“Ni pakcik tajudin kan. Saya berusaha buat yang terbaik masa pakcik cramp. Memag nampak pakcik berusaha semangat tinggi kalahkan anak muda. Terbaik pakcik. Jumpa lagi tahun depan pakcik. U r the best,” netizen.
“Gila, berjaya capai Ironman di umur 61 tahun! lu mmg stail pakcik,” netizen.
“Perghhh nanti boleh cerita dekat cucu-cucu dia yang atuk dia pernah jadi ironman,” netizen.
Selain itu, sebahagian netizen pula memuji bentuk badan pakcik tersebut yang kelihatan masih kemas di umur 61 tahun dengan otot yang masih kuat.
“Kederat orang muda… tengok badan dah tau, kompom ironman,” netizen.
Untuk rekod, seramai 1,800 atlet dari lebih 50 negara bersaing dalam Ironman 70.3 Langkawi dan Ironman Malaysia 2024, dengan peserta Ironman Malaysia perlu berenang sejauh 3.8km, berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km.