15 termasuk lima wanita ditahan kes masak mi segera di stesen minyak

15 termasuk lima wanita ditahan kes masak mi segera di stesen minyak

 

Polis menahan 15 orang yang dipercayai terbabit memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands, baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mereka yang ditahan ialah 10 lelaki dan lima wanita, berusia antara 23 hingga 28 tahun.

Katanya, mereka ditahan Sabtu lalu ketika diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, Pahang untuk diambil keterangan.

“Selepas polis selesai merakam keterangan, mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Polis masih dalam proses merakam percakapan saksi ketka kejadian dan melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya,” katanya menurut BH Online.

Katanya, setakat ini keterangan empat saksi sudah diambil bagi membantu siasatan kes.

Polis membuka satu kertas siasatan berhubung kes itu susulan laporan yang diterima pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, dilaporkan berkata, laporan dibuat seorang wanita berusia 47 tahun yang juga petugas di stesen minyak terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kegusaran am kepada orang awam.

Klip rakaman video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita memasak mi segera menggunakan dapur gas mudah alih dan menjamu selera di perkarangan stesen berkenaan.

Rakaman dipercayai dibuat sendiri rakan mereka sebelum tular dan mengundang kecaman warga net kerana perbuatan itu boleh mengundang bahaya kerana stesen minyak adalah kawasan sensitif dan mudah terbakar.