144 kes jangkitan penyakit kaki, tangan & mulut (HFMD) di Hilir Perak, Bagan Datuk

144 kes jangkitan penyakit kaki, tangan & mulut (HFMD) di Hilir Perak, Bagan Datuk

 

Sebanyak 144 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dilaporkan di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk bagi tempoh minggu epidemiologi (ME) ke-17 tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 7.5 kali ganda berbanding ME yang sama pada tahun lepas iaitu hanya mencatatkan 17 kes.

“Sehingga kini, terdapat tujuh wabak HFMD telah diisytiharkan dengan enam wabak (86%) telah berlaku di daerah Hilir Perak dan satu (14%) berlaku di daerah Bagan Datuk,” katanya dalam kenyataan.

Akmal berkata, kebanyakan lokasi penularan wabak berlaku di tadika, taska dan prasekolah iaitu lima wabak (71%) diikuti pusat jagaan kanak-kanak dengan dua wabak (29%).

Beliau berkata, bagaimanapun tiada wabak dilaporkan di rumah persendirian.

“Ibu bapa yang mempunyai anak kecil dinasihatkan supaya memastikan anak-anak bebas daripada gejala HFMD sebelum mereka dihantar ke taska, pusat asuhan atau rumah pengasuh bagi mengelak perebakan.

“Anak-anak yang mempunyai gejala jangkitan perlu dibawa ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.