14 individu berjudi dalam rumah ditahan

14 individu berjudi dalam rumah ditahan

Seramai 14 individu termasuk remaja perempuan berusia 18 tahun yang sedang leka bermain judi dicekup dalam satu serbuan polis di Sitiawan di sini awal pagi semalam.

Dalam operasi di sebuah rumah pada pukul 1.35 pagi itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM5,926, 112 biji batu domino, 52 keping kad daun terup dan dua biji dadu.

Ketua Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, ketika ditahan, mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan lima wanita berusia 18 hingga 28 tahun sedang leka bermain judi Gin Rummy dan Ngau.

“Mereka ditahan menerusi Ops Limau/Ops Dadu dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Beliau memberitahu, semakan mendapati mereka merupakan penduduk setempat dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Dalam operasi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung mengeluarkan kompaun ke atas semua individu itu kerana tiada penjarakan fizikal. – KO