Lelaki conteng muka kucing guna ‘marker pen’ diburu

Tindakan zalim seorang lelaki menganiya dua ekor kucing dengan menconteng wajah haiwan itu menggunakan pena penanda (marker pen) mengundang kemarahan ramai.
Lebih menimbulkan rasa geram apabila lelaki berkenaan tanpa segan silu tersenyum gembira sambil ketawa merakam sendiri video perbuatannya itu terhadap dua ekor kucing malang tersebut.
Perkara itu didedahkan Persatuan Haiwan Malaysia (Malaysia Animal Association) yang mengutuk keras perbuatan lelaki berkenaan dan menyeru mereka yang mempunyai maklumat tentang pelaku agar menghubungi pihaknya bagi tindakan undang-undang.
“Mohon seluruh masyarakat Malaysia cam wajah lelaki yang menganiaya kucing dengan melukis wajah kucing menggunakan pen marker (pena penanda) untuk tampil bantu jejak pelaku.
“Animal Malaysia tidak dapat menerima dan berkompromi perlakuan membuli binatang yang lemah jika bukan untuk tujuan defensif diri,” demikian menurut badan bukan kerajaan terbabit di Facebook.
Maklumat boleh disalurkan ke nombor Whatsapp Hotline Jenayah Haiwan Animal Malaysia supaya satu laporan terperinci dapat dikumpul untuk tindakan pihak berkuasa.
Berdasarkan video berdurasi 40 saat yang tular, lelaki berkenaan menggunakan pena penanda dengan melukis pada bahagian mata kucing seolah-olak dipakaikan celak.
Video yang sama turut memaparkan seekor lagi kucing dilukis menggunakan pena penanda berwarna biru, juga di bahagian mata serta dahi.
Sementara itu, di ruangan komen warga maya mengutuk keras perbuatan itu dan berharap pelaku segera diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
“Tolonglah kita sama-sama banteras perbuatan menzalimi haiwan ni. Saya mengutuk keras!
“Elok muka mereka ni kita mekap macam tu lepas itu ikat kat pokok sawit bagi babi hutan sondol.
“Tolong heret pelaku ke muka pengadilan… semoga dapat ditangkap cepat,” demikian menurut beberapa warga maya.