BMW F30 ‘hadiah’ Honda Day kantoi ada 2 rekod kemalangan

BMW F30 ‘hadiah’ Honda Day kantoi ada 2 rekod kemalangan

 

Masih hangat diperkatakan mengenai acara Honda Day Malaysia 2024 baru-baru ini yang teruk ‘dibahan’ netizen di media sosial selepas tular pemenang hadiah utama cabutan bertuah acara itu hanya membawa pulang sebuah kereta Honda Accord SM4 keluaran 1992.

Ia bukan sekadar model lama, malah keadaan kereta tersebut juga teruk diperkatakan oleh kerana cat yang agak lusuh dan beberapa kesan calar yang dibiarkan juga disifatkan sebagai tidak berbaloi diberi kepada pemenang.

Selepas teruk menjadi bahan ‘troll’ di media sosial, penganjur Honda Day 2024, Remy Ampang akhirnya menggantikan hadiah terbabit dengan kenderaan mewah, BMW F30.

Tidak terhenti disitu, isu baharu pula muncul apabila kini tular pula laporan mengenai kereta tersebut yang dikeluarkan oleh SCRUT.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook SCRUT, BMW F30 itu dilaporkan mempunyai rekod kemalangan ‘High Severity’ (kemalangan teruk) yang mana ia dikategorikan sebagai kemalangan sendiri.

“Mungkin terbabas sendiri, tersondol kereta orang atau kemalangan yang melibatkan kecuaian pemilik kereta,” katanya.

Dalam laporan yang dikongsikan, kereta dengan rekod mileage (perbatuan) 146,547Km itu bagaimanapun tidak mempunyai rekod ‘total lost’, banjir, dicuri dan dilelong, sebaliknya mempunyai rekod dua kemalangan teruk serta pernah menukar cermin hadapan.

Laporan yang dikeluarkan SCRUT nyata mencuri tumpuan memandangkan plaform tersebut sering menjadi rujukan orang ramai untuk mendapatkan rekod terdahulu kereta recon atau kereta AP yang ingin dibeli.

Tidak hanya itu, semalam (8 Oktober), tular juga dakwaan yang mendedahkan bahawa salah satu rim BMW F30 itu telahpun bengkok.

Dalam satu gambar yang dikongsikan di akaun TikTok @tuned_bymr.f, jelas kelihatan kesan bengkok tersebut pada rim.

@tuned_bymr.f

Dia datang dgn rim bengkok pulak haha#hondaday2024sepang #kenascam #hondadaysepang #hondaday2024

♬ Namun Ku Punya Hati By Revolvers – Abam_JiwangkapaK

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kesan bengkok tersebut telahpun ada semasa kereta diserahkan atau berlaku di tangan pemenang kenderaan terbabit.

Selain itu, muncul pula pemenang hadiah utama cabutan bertuah acara terbabit pada tahun lalu yang ingin menjual kereta yang dimenanginya.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook Dean Sulyman, kelihatan hadiah utama cabutan bertuah Honda Day Malaysia 2023 itu merupakan Honda Civic EF Sedan dipercayai keluaran tahun 1991.

“Mana yang nak tengok grand price Honda Day 2023 tahun lepas, ini lah keretanya, ada yang berminat kasi roger,” tulisnya di kapsyen.