“Jangan bagi orang tepuk belakang tanpa sebab” – Datuk Aishah kongsi pengalaman mistik
Penyanyi popular, Datuk Aishah berkongsi pengalaman seramnya apabila ditepuk dari belakang ketika selesai membungkus makanan di sebuah kedai.
Menurut Aishah, kejadian tersebut berlaku semasa dia dan rakan-rakan yang lain sedang melakukan aktiviti perkhemahan di sebuah negeri. Ujar Aishah, dia berasa pelik apabila pemilik kedai makan tersebut tiba-tiba berbicara topik sihir.
Assalamualaikum. Nak cerita kenangan saya bersama kawan-kawan. Masa itu kami lima atau enam orang wanita yang pergi perkhemahan di satu negeri ni.
Kemudian, kami pergi ke sebuah kedai makan untuk bungkus makanan. Lepas itu kami jumpa dengan dia punya pemilik kedai makan tersebut.
Kami sembang-sembang, tiba-tiba dia cakap, ‘oh dekat negeri ni orang selalu tuduh kita mandrem orang la, main sihir’ kami tak ada cerita pasal benda itu. Tiba-tiba je dia cakap.
Tambah pelantun suara ‘Janji Manismu’ ini lagi, pemilik kedai tersebut tiba-tiba mengekorinya dan rakan-rakan ketika sedang menuju ke kereta.
Kami pandang antara satu sama lain. Kami ambil gambar bersama. Paling tak okay dia terlalu dekat dengan saya. Kami nak cepat lepas dapat makanan. Tiba-tiba dia ikut. Saya dah bagitahu kawan-kawan duduk di keliling saya supaya dia tak dapat dekat dengan saya.
Berbicara lebih lanjut, Aishah berkata, individu tersebut sempat menepuk belakangnya.
Apabila sampai ke kereta, dia dapat juga dekat dengan saya dan dia tepuk belakang saya. Kawan saya pun kena tangan dia. Kami cepat-cepat masuk dalam kereta dan saya memandu pulang ke tempat penginapan.
Saya dah mula rasa panas dan bawa kereta macam zombi. Kawan yang kena tangan tu pun dah rasa panas. Alhamdulillah sampai juga ke tempat penginapan. Kakak yang jaga kami tu memang berasal dari negeri tersebut.
Kami sampai saja, dia tengok dan tanya kenapa? Terus dia pergi belakang dan ambil air. Dia baca dan terus bagi saya minum. Saya terus muntah dan rasa lega. Pengalaman kena tepuk. Jangan bagi orang tepuk belakang tanpa sebab.
Di akhir video, Aishah memberi pesanan kepada semua individu agar jangan beri kebenaran kepada sesiapa sahaja untuk tepuk belakang tanpa sebab.