11 tahun tiada peningkatan, kenaikan harga gula adalah wajar – MSM

11 tahun tiada peningkatan, kenaikan harga gula adalah wajar – MSM

 

MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), menyerahkan kepada kerajaan mengenai kewajaran menaikkan harga gula pada masa ini berikutan terdapat tekanan kos dalam industri terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, pihaknya melihat kenaikan harga gula adalah wajar selepas 11 tahun tiada kenaikan.

Katanya, kos sudah meningkat lebih 30 peratus ketika ini berikutan kenaikan harga gas, fret dan pergerakan tukaran asing.

“Industri gula antara yang paling ‘sabar’ pada saya, kerana sejak tahun 2011 sehingga sekarang kenaikan harga gula hanya 1 sen sekilogram.

“Harga gula mentah dulu hanya 13 sen dan sekarang harga hampir 20 sen sekilogram dan memandangkan tekanan kos ketika ini, mungkin wajar kerajaan meneliti balik harga gula.

“Jaminan kami adalah untuk rakyat dan negara, tapi pada masa sama kami perlu untung juga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 MSM di sini hari ini.

Menurutnya, pemain industri juga sentiasa mengadakan dialog dengan kerajaan memgenai perkara itu dan kerajaan memahami keadaan yang dihadapi industri.

Pengeluar gula terbesar negara itu turut menyatakan kenaikan harga gula itu hanya membabitkan segmen konsumer membabitkan gula satu kilogram dan bukan membabitkan industri, malah kesan kenaikan dijangka tidak ketara kepada isi rumah.

Syed Feizal berkata, harga gula semasa Malaysia, RM2.85 sekilogram adalah terendah dalam kalangan negara di rantau ini.

“Harga gula di Thailand dijual anggaran RM3.50 sekilo, manakala Singapura pula RM5.90 sekilo,” katanya.

Ditanya mengenai berapakah anggaran kenaikan gula yang sewajarnya, beliau berkata jika naik sebanyak 30 peratus, harga gula dianggarkan sekitar RM3.50 sekilogram, namun pihaknya tidak menetapkan harga berkenaan sebaliknya ia terserah kepada keputusan dan pertimbangan kerajaan.

“Margin keuntungan industri gula ini tidak tinggi dan kurang dari 10 peratus. Kami juga tidak mengambil untung yang terlalu tinggi dalam perniagaan ini,” katanya.

Kali terakhir harga kawalan gula bertapis dinaikkan sebanyak 11 sen pada 2017 dan kemudian penurunan harga diumumkan pada 2018 sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram, menyebabkan kenaikan hanya satu sen dari 2011.

Sementara itu, Syed Feizal berkata, bekalan gula dalam negara lebih daripada mencukupi dan tiada keperluan untuk mengimport komoditi itu bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.