10 minit tahan sakit tangan tersepit di mesin ‘treadmill’

10 minit tahan sakit tangan tersepit di mesin ‘treadmill’

Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan sakit selama 10 minit sebelum anggota bomba berjaya mengeluarkan tangannya yang tersepit di mesin treadmill (alat senaman berjalan kaki) di rumahnya di Batu 14, Lekir, dekat sini.

Menerusi kenyataan jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pada Sabtu, difahamkan kanak-kanak perempuan berusia sekitar sembilan tahun itu bermain bersama-sama adik beradiknya sebelum sebiji bola termasuk di bawah mesin tersebut.

Ujarnya, mangsa cuba mengambil bola itu bagaimanapun, dipercayai seorang daripada mereka secara tidak sengaja tertekan suis yang menyebabkan mesin itu bergerak lalu tangan mangsa tersepit.

 

 

“Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.54 tengahari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi.

“Bomba mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit menggunakan “paratech tool” dan pemutar skru bagi meregangkan putaran mesin itu.

“Mangsa mengalami luka ringan di tangan dan anggota bomba turut menasihatkan ibu bapanya untuk menghantar mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut,”katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.38 tengahari.

Sumber: Suara Perak