10 EXCO Kerajaan Negeri Perak angkat sumpah

10 EXCO Kerajaan Negeri Perak angkat sumpah

 

Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Perak di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini sebentar tadi.

Istiadat pelantikan itu berlangsung di Balai Istiadat Kecil di Istana Iskandariah, Bukit Chandan dekat sini.

Berangkat sama dalam istiadat itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

Tiga wakil Barisan Nasional (BN) daripada UMNO membarisi Exco kerajaan negeri Perak iaitu Datuk Mohd. Zolkafly Harun (Lintang), Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairudin Abu Hanipah (Belanja).

Turut tersenarai tujuh wakil gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) di mana empat daripadanya ADUN DAP iaitu A. Sivanesan (Sungkai), Teh Kok Lim (Aulong), Loh Sze Yee (Jalong), Woo Kah Leong (Pasir Bedamar).

Exco lain PH ialah Sandrea Ng (Teja) dan Mohd. Azlan Helmi (Tualang Sekah) daripada PKR manakala Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Sungai Rapat) daripada Amanah.

Mendahului istiadat mengangkat sumpah itu adalah Zolkafly, Mohammad Nizar dan Sivanesan, masing-masing pernah memegang jawatan Exco di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Diikuti Sze Yee, Salbiah, Kok Lim, Sandrea, Khairuddin, Mohd. Azlan dan Kah Leong yang merupakan lantikan baharu bagi jawatan berkenaan.

Kesemua mereka kemudian menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Semalam, Saarani telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 selepas BN dan PH bersetuju menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.

Keputusan PRU15 baru-baru ini menyaksikan kerajaan negeri Perak tidak boleh dibentuk ekoran tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah 30 daripada 59 kerusi DUN di perak.

PH hanya menang 24 kerusi DUN manakala PN 26 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.

Kerjasama antara gabungan PH dan BN menjadikan mereka mempunyai kerusi yang mencukupi iaitu 33 kerusi DUN sekali gus melepasi angka majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.