10 Adun PN letak syarat sokong Umno di Perak
Di sebalik pengumuman daripada pemimpin Umno dan PH yang memberi bayangan kemungkinan kerajaan baru ditubuhkan melibatkan kerjasama kedua-dua pihak, nampaknya gabungan PN masih sedia berunding dengan Umno untuk mengekalkan kerajaan sedia ada.
Menurut sumber dekat dengan bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu, gabungan PN di Perak yang merangkumi 10 Adun termasuk PAS, Gerakan dan Bebas sedia menyokong Umno untuk menerajui kerajaan negeri dengan syarat.
“Ya, setahu saya rundingan kami tidak terputus. Gabungan PN sedia kerjasama dengan Umno dengan syarat Adun Rungkup Shahrul Zaman Yahya perlu dilantik sebagai menteri besar yang baru.
“Ini selepas, PN Perak berasa kecewa dan mempercayai bahawa Pengerusi Umno negeri Saarani Mohamad sebagai dalang di sebalik usul undi percaya terhadap Faizal Azumu,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Tambahnya, perkara ini telah dibincangkan pada Sabtu lalu di Ipoh, Perak.
“PAS turut hadir perbincangkan tersebut. Secara umumnya, PN Perak mengambil pendirian sedia menyokong Umno dengan syarat Shahrul adalah menteri besar,” katanya lagi.
Namun, sumber itu mengakui tidak tahu perkembangan terbaru mengenai syarat tersebut.
Malaysiakini telah menghubungi Faizal untuk mendapatkan ulasan.
Selain Shahrul dan Saarani, bekas menteri besar Zambru Abdul Kadir (Adun Pulau Pangkor) juga disebut-sebut sebagai calon menteri besar baru.
Sementara itu, Shahrul dalam kenyataan di Facebook berkata semua Adun Umno mencalonkan Saarani sebagai menteri besar Perak.
“Kami semua Adun Umno telah secara konsensus mencalonkan Saarani, pengerusi perhubungan Umno negeri Perak sebagai menteri besar Perak.
“Saya mohon untuk kita semua tidak membuat apa-apa spekulasi lagi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak untuk mempertimbangkan siapa yang mempunyai majoriti mudah untuk dipilih menjadi mb Perak.. in shaa Allah..,” katanya dalam satu hantaran Facebook sebentar tadi.
Dia menambah bahawa jawatan adalah satu pertanggungjawaban dan bukannya perebutan.
Sebelum ini dilaporkan bahawa sebanyak 26 Adun telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Saarani sebagai menteri besar yang baru.
Sinar Harian melaporkan selain 25 Adun Umno, seorang Adun Bersatu turut menyokong Saarani.
“Seorang Adun daripada Bersatu yang sebelum ini mengambil keputusan keluar parti lama bagi menyokong pelantikan semula Faizal sewaktu ‘Langkah Sheraton’, turut mengambil tindakan sama.
“Sebenarnya, kalau kita perolehi sokongan empat lagi Adun Bersatu termasuk Ahmad sendiri, angka 30 Adun sudah memadai untuk Umno bersama Bersatu membentuk kerajaan baru.
“Namun, baginda Tuanku Sultan Perak pastinya mahu kerajaan terbentuk lebih stabil.
“Atas sebab itu, PAS perlu segera membuat keputusan sama ada menyokong kerajaan baharu diterajui Umno atau tidak,” tambah laporan itu lagi.
Faizal sebelum ini menjadi menteri besar Perak selepas PH menang di negeri itu pada pilihan raya umum 2018.
Selepas 22 bukan memerintah negeri tersebut, Faizal yang juga Adun Chenderiang membuat kerjasama dengan Umno dan PAS menubuhkan Kerajaan PN, dan kembali menjadi menteri besar di bawah kerajaan negeri baru.
Bagaimanapun, dia disingkirkan sebagai menteri besar dalam satu usul undi keyakinan yang dibawa oleh Adun Umno Pengakalan Baru, Abd Manaf Hashim pada Jumaat lalu.
Timbalan Presiden Bersatu itu hanya meraih sokongan 10 Adun, manakala, 48 Adun tidak menyokong usul keyakinan itu.
Susulan itu, Umno yang menguasai 25 kerusi DUN disebut bakal menubuhkan kerajaan baru.
Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/554114?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook