Mahu panggil polis hanya sebab cadar kotor, individu dedah sisi gelap pekerja hotel di Hat Yai
Mahu panggil polis hanya sebab cadar kotor, individu dedah sisi gelap pekerja hotel di Hat Yai
Hat Yai, Thailand merupakan destinasi pelancongan yang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dianggap sebagai ‘syurga makanan’ lokasi itu sering menjadi pilihan kerana jaraknya yang dekat dengan sempadan negara, malah kos melancong ke sana juga agak murah.
Namun, tular pula perkongsian seorang individu di TikTok mengenai pekerja hotel di Hat Yai yang didakwa menganiaya pelancong dari Malaysia.
Menerusi tangkap layar tular, pengadu mendakwa dia dipaksa untuk membayar ganti rugi kerana terdapat kotoran yang dikesan pada cadar hotel.
Namun kata individu itu, kotoran berkenaan sudah pun wujud ketika dia mendaftar masuk dan ia bukanlah berpunca daripadanya.
“Hotel ni ada kata kami kotorkan cadar dan minta (bayar) denda. Kami tak mahu bayar sebab bukan kami buat. Tapi dia nak panggil polis.
“Polis Thailand agak-agak boleh dengar alasan kita tak?” tulis individu itu menerusi tangkap layar WhatsApp yang tular.
Menurut pengadu lagi, dia terkilan kerana tidak membuat aduan awal atau mengambil foto kotoran pada cadar itu bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.
“Bila masuk dah nampak (kotoran). Cuma silap kami tak complaint atau ambil gambar,” tulis individu itu lagi.
Difahamkan, pertikaian itu bagaimanapun berakhir selepas pengadu membayar 300 baht (RM38.88) kepada pihak hotel.
Di ruangan komen, ramai individu turut meluahkan rasa bengang dengan kejadian itu.
Malah, beberapa rakyat Malaysia yang pernah berdepan pengalaman sama tampil berkongsi kisah mereka.
“Saya pun pernah kena dengan hotel di Hat Yai. Dia cakap saya rosakkan cadar. Padahal cadar tu bekas panas bila mereka cuci pakai dryer.
“Kena juga macam ni. 400 baht (RM51.73) melayang. Tak mahu panjang kes, terpaksa bayar juga.
“Eh sama macam saya kena tiga bulan lepas. Bertekak juga kat situ,” tulis beberapa netizen.