“Sudah tiba masa kami undur diri..” – Vivy Yusof & suami mohon maaf, lepaskan jawatan dalam FashionValet
Berikutan isu kerugian pelaburan dana awam, pasangan usahawan Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tampil membuat penjelasan.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram sebentar tadi, Vivy dan Fadza mengakui kesilapan yang telah dilakukan sekaligus mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan berkenaan.
Dalam masa yang sama, pasangan usahawan itu juga memohon maaf berikutan kontroversi tersebut.
Berhubung laporan media membabitkan FashionValet, kami rasakan penting untuk kami mengeluarkan kenyataan di atas kapasiti kami sebagai pengasas FashionValet.
Kami berdua sebagai individu yang menguruskan syarikat akan mengambil tanggungjawab penuh, kami gagalkan pelabur kami.
Kami berasa amat kecewa dan kesal akan perkara yang berlaku, kami betul-betul minta maaf.
Vivy atau nama lengkapnya Vivy Sofinas Yusof kemudian menjelaskan tentang faktor-faktor kerugian syarikat tersebut.
Kami cuba kembangkan perniagaan secara agresif dan tidak merancang untuk hari mendatang.
Kami cuba sedaya upaya menjimatkan perbelanjaan untuk menjaga aliran tunai termasuk menutup platform e-dagang namun keadaan menjadi lebih teruk.
Terdapat banyak perkara yang kami mahu ubah jika boleh, banyak faktor lain kami harap kami pertimbangkan sebelum mengembangkan perniagaan ini.
Justeru itu, Vivy dan Fadza mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan mereka di dalam syarikat FashionValet.
Mereka (PNB dan Khazanah) sentiasa bertindak secara profesional dan dalam kepentingan terbaik organisasi masing-masing. Kami berharap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang dan mereka akan terus menyokong usahawan tempatan lain.
Kami merasakan sudah tiba masa kami mengundurkan diri daripada perniagaan dan melepaskan semua jawatan.
Kami tidak mahu isu ini berpanjangan dan memberi kesan kepada syarikat.
Terdahulu, Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengalami kerugian sebanyak RM43.9 juta.
Ia merupakan hasil penjualan pegangan minoriti dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet Sdn Bhd.
Warganet kemudian mendesak usahawan terkenal itu untuk tampil memberi penjelasan berikutan isu kerugian pelaburan berkenaan.