“Saya bukan suspek..” – Ziana Zain disoal siasat SPRM selama tiga jam

“Saya bukan suspek..” – Ziana Zain disoal siasat SPRM selama tiga jam

 

“Saya bukan suspek..” – Ziana Zain disoal siasat SPRM selama tiga jam

Ziana Zain mendakwa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram dalam Ops Sky membabitkan syarikat perunding kewangan terhadapnya, tidak mengganggu kerjaya seni.

Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain, 57, bagaimanapun tidak menyangka buat pertama kali berdepan siasatan pihak berkuasa biarpun sebelum ini sudah menggalas pelbagai tanggungjawab sebagai duta.

“Sebelum ini, saya tidak berdepan perkara sebegini sebagai duta, ini kali pertama. Kata orang, dalam berbelas-belas (kali) yang kita pernah jadi duta, kadang-kadang mungkin ada satu yang jadi begini.

“Kita ini hanya tahu secara permukaan sahaja dan tak tahu apa di sebalik syarikat itu. Bagi saya, mereka (syarikat terbabit) juga masih dalam siasatan, jadi tidak boleh terus tuduh mereka bersalah atau tidak.

“Untuk masa akan datang, saya juga tidak akan tahu. Bagi saya perkara ini tidak mengganggu karier seni sebab saya tak buat apa-apa yang salah.

“Saya hanya duta dan menjalankan tugas. Menyanyi dan buat hantaran (dalam media sosial)… Itu sahaja,” katanya ditemui selepas konsert akhir program realiti, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) di Studio Ntv7, Glenmarie di sini, malam tadi.

Pada 6 Februari lalu, tiga selebriti dipanggil ke ibu pejabat SPRM untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Ops Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.

Tiga selebriti itu merangkumi Ziana, Datuk Jalaluddin Hassan dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, ketiga-tiganya tidak dianggap sebagai suspek sebaliknya keterangan masing-masing diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Mengulas kehadiran ke ibu pejabat SPRM, pelantun lagu Madah Berhelah ini berkata, beliau bersama dua lagi duta memberi keterangan termasuk menjawab beberapa soalan mengenai syarikat terbabit.

“Tidak ada apa pun sebab kami hanya bantu siasatan, itu sahaja. Pihak SPRM tanya kami berapa lama kenal (dengan syarikat terbabit), buat apa… Itu sahaja.

“Saya hanya beritahu sebagai duta dan pergi menyanyi, itu sahaja yang mereka tanya. Selebihnya kami berbual sahaja. Dalam dua hingga tiga jam juga ketika itu.

“Saya tidak risau sebab bukan jadi modus operandi. SPRM pun sudah cakap, kami dipanggil untuk membantu siasatan dan bukan kami ini suspek.

“Biasalah orang luar suka sangat (buat spekulasi), tak baik. Untuk saya dan duta lain sudah selesai, tetapi daripada segi siasatan selanjutnya saya tidak tahu. Itu daripada SPRM, kami sudah selesaikan bahagian kami… Alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, menjawab dakwaan dibayar hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat terbabit, Ziana menafikannya.

“Kalau dapat macam itu (bayaran ratusan ribu) saya sudah keluar kereta Mercedes baharu. Sebab yang menjadi duta ramai, jadi sudah tentu belanja dikeluarkan besar.

“Kadang-kadang apabila angka itu dikeluarkan, bukan bermakna kita dapat semua itu,” katanya.