“Saya terkejut, tak sangka dia terlibat kes amang seksual” – Zed Zaidi

“Saya terkejut, tak sangka dia terlibat kes amang seksual” – Zed Zaidi

 

“Saya terkejut, tak sangka dia terlibat kes amang seksual” – Zed Zaidi

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi, 45, terkejut dan tidak menyangka seorang penyanyi dan pelakon lelaki popular terbabit dengan kes amang seksual yang didakwa dilakukan terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun.

Bagaimanapun, menurut Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil berkata, penyanyi itu belum lagi didapati bersalah. Siasatan terperinci masih dijalankan pihak polis dan undang-undang akan menentukan.

“Memang saya sangat terkejut dan kita tidak sangka dia yang terbabit. Tapi, itulah dunia sekarang ini, kita tak boleh jangka.

“Kadang-kadang orang itu baik, tiba-tiba sebaliknya pula. Kadang-kadang orang ini kita nampak ‘jahat’, tapi sebaliknya. Jadi benda-benda ini, memang sekarang sangat sukar dijangka.

“Ditambah dengan perkembangan teknologi terutama kecerdasan buatan (AI), itu juga kita takut ia akan jadi satu ancaman kepada selebriti di masa akan datang,” katanya.

Zed mengingatkan serta menasihati golongan artis agar berhati-hati supaya tidak terbabit dengan sebarang perbuatan yang terkait individu di bawah umur dan kanak-kanak.

“Sekarang ini, kalau yang membabitkan gangguan seksual dan juga cabul terhadap kanak-kanak serta di bawah umur memang sangat serius.

“Pada masa sama, artis kenalah berhati-hati terutama dalam media sosial. Sekarang ini bukan macam dulu dan kadang-kadang tidak boleh nak salahkan artis 100 peratus juga.

“Cuma, kalau isu-isu yang membabitkan artis ini selalu mendapat liputan lebih meluas dan lebih pantas oleh pengamal media serta masyarakat.

“Jadi, kita sebagai artis kena berhati-hati dan jangan buat perkara yang pelik-pelik. Sebab apa, sekarang ini bila artis ditangkap dan dia baru didakwa serta belum lagi bersalah, kita tak boleh terus menuduh,” katanya.

Menurut Zed, ia membabitkan proses siasatan yang panjang sebelum mahkamah menjatuhkan keputusan bersalah atau tidak dan kemudiannya pihak persatuan baru boleh fikirkan tindakan bakal diambil.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang pelakon dan penyanyi popular ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.

Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja dan selepas beberapa kali pertemuan suspek kemudian membawa mangsa bertemu di sebuah hotel.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan perkara itu.

Sementara itu, tinjauan di media sosial pelakon dan penyanyi terbabit, tiada sebarang kemas kini terbaru dibuatnya dan hantaran terakhir dilakukan tiga hari lalu.