Zamrud ‘kutukan’ bernilai AS$1 bilion dipulangkan ke negara asal selepas lebih dua dekad
Zamrud ‘kutukan’ bernilai AS$1 billion dipulangkan ke negara asal selepas lebih dua dekad
Seketul bijih mengandungi permata zamrud seberat 400 kilogram bernilai AS$1 billion (RM4.4 bilion) akan akan dipulangkan ke Brazil dari Amerika Syarikat (AS) selepas lebih dua dekad, lapor laman berita Daily Express semalam.
Keputusan sebuah mahkamah persekutuan AS pada 21 November lalu menamatkan pertikaian undang-undang berpanjangan melibatkan pelabur, peniaga permata dan kerajaan kedua-dua buah negara.
Ia berlaku selepas zamrud Bahia itu ditemui di sebuah lombong di Hutan Hujan Amazon pada tahun 2001.
Menurut rekod mahkamah, kerajaan Brazil mengemukakan bukti bahawa permata itu diekstrak secara haram tanpa permit melombong atau eksport.
Kerajaan sama juga memberikan bukti bahawa dokumen kastam palsu digunakan untuk membawanya keluar dari Brazil.
Selepas diekstrak dari lombong, mereka yang terlibat dengan permata itu mengalami peristiwa malang sehingga ia digelar sebagai zamrud ‘kutukan’.
Antara peristiwa malang itu ialah serangan harimau jaguar ketika zamrud itu dibawa melalui hutan keluar dari Brazil.
Gudang di mana ia disimpan di New Orleans rosak dibadai Taufan Katrina sebelum permata itu dicuri dari sebuah gudang lain di Los Angeles tempat ia dipindahkan.
Ia akhirnya ditemui oleh pihak berkuasa di Las Vegas, Nevada.
Pelbagai kumpulan pula terbabit dalam pertikaian undang-undang dengan mereka mendakwa sebagai pemiliknya sah termasuk ahli perniagaan Amerika, Kit Morrison yang mengetuai sebuah konsortium pelabur.
Pada 2021, mahkamah Brazil mengeluarkan perintah rampasan muktamad dan pada 2022, Jabatan Kehakiman secara rasmi meminta ia dipulangkan ke Brazil.