“Ya, Rizal Ali masih lagi CEO”

“Ya, Rizal Ali masih lagi CEO”

Peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali ditolak sementara oleh Lembaga Pengarah kelab bolasepak itu, sekali gus menyaksikan Rizal Ali masih lagi menggalas tanggungjawab menyelia kelab terbabit.

Perkara itu disahkan sumber yang juga seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) kelab terbabit yang enggan namanya disiarkan.

Sumber berkata, peletakan jawatan Rizal Ali ditolak sementara melalui sesi perbincangan yang diadakan antara BOD lalu menggesa Rizal Ali menangguhkan dahulu peletakan jawatannya sementara penyusunan dan pengstrukturan kelab dilakukan.

“Ya, dia (Rizal) masih lagi (CEO). (Sebab) nak cari CEO baru pun susah, jadi sementara ini hold (tangguh) dahulu (peletakan jawatan).

“Tangguh sampai selesai isu tunggakan gaji, penyusunan untuk perelokkan balik (kelab) apa semua dalam tempoh rehat selama dua bulan (sebelum musim Liga Super bersambung).

“Selepas semuanya ‘settle’ (selesai) dan kembali baik, kalau dia (Rizal Ali) nak letak jawatan maka terpulanglah kepadanya,” katanya.

Terdahulu, Rizal Ali menerusi laporan sebuah akhbar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai CEO Perak FC berkuat kuasa 10 Mei lalu di samping sedia bertanggungjawab di atas segala yang berlaku terhadap pasukan itu.

Bagaimanapun susulan laporan itu, tiada sebarang sidang media dibuat secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan Rizal biarpun sebelum itu teruk diasak peminat skuad Bos Gaurus dengan desakan meletak jawatan.

Usaha menghubungi Rizal bagi mendapatkan penjelasannya juga nyata tidak berjaya. – HM