[Xlusif] Kisah mitos kewujudan batu intan

[Xlusif] Kisah mitos kewujudan batu intan

Sekali pandang deretan pokok kelapa sawit hidup subur menghijau di kawasan bukit-bukau di FELDA Trolak Timur, Trolak, Perak, hanya pemandangan biasa dan tiada sebarang keunikan.

Namun, kawasan itu ada sebuah bukit yang begitu nyaman dan indah panorama, selain kaitan kisah menarik mengenai batu intan.

Sejak empat bulan lalu, Bukit Intan terletak 4 kilometer (km) dari penempatan penduduk ini menjadi sebutan selepas tular di media sosial dek kerana pemandangan alam semula jadi yang memukau.

Lihat matahari terbit

Ada pengunjung sanggup bermalam di kawasan FELDA ini hanya kerana mahu melihat pemandangan matahari terbenam dan terbit.

Lebih indah apabila sesampai di puncak bukit itu mereka dapat menyaksikan kepulan awan yang sungguh cantik.

Untuk sampai ke puncak bukit itu pengunjung boleh mendaki, menggunakan motosikal atau menyewa pacuan empat roda disediakan penduduk.

Di puncak Bukit Intan terdapat bongkah batu menjadi tempat pengunjung merakamkan gambar berlatar belakang keindahan awan dan alam semula jadi.

Awal tebal di sekeliling bukit

Penduduk, Rozaimi Hamid, 25, berkata di puncak bukit terbabit kelihatan awan tebal memenuhi sekeliling bukit menjadikan pemandangan cukup menarik.

Katanya, suasana di puncak bukit amat cantik ketika awal pagi atau selepas waktu hujan lebat.

“Kelihatan awan tebal berarak seolah-olah kita berada di puncak gunung dan biasanya pengunjung tidak melepaskan peluang merakamkan gambar.

“Kecantikan awan tular di media sosial menyebabkan Bukit Intan semakin popular.

“Pada cuti hujung minggu di kaki bukit dipenuhi kenderaan.

“Banyak papan tanda terdapat di sepanjang jalan tanah merah di lereng bukit bercerun curam memudahkan pendakian kira-kira sejam sampai ke puncak.

“Bagi yang bermotosikal dinasihatkan berhati-hati kerana perlu mendaki empat bukit curam dan berselekoh. Masa diambil 40 minit saja,” katanya.

Air sungai dari Banjaran Titiwangsa

Pengunjung tidak perlu risau kerana kumpulan Always On Vacation (AOV) di FELDA sedia membantu mereka menunjuk arah untuk merasai pengalaman menikmati pemandangan Bukit Intan.

Rasa puas penat-lelah terbalas dengan keindahan alam dan boleh singgah mandi-manda di hulu Sungai Trolak dikenali Lata FELDA Trolak Timur.

Kejernihan dan kesejukan air dari kaki Banjaran Titiwangsa mengalir di sungai pasti menggamit pengunjung datang lagi ke sini.

‘Buru’ kilauan batu intan putih

Kisah mitos kewujudan batu-batuan kecil putih berkilauan juga mencuri tumpuan.

Batu-batan itu ditemui peneroka ketika membersih dan membuka kawasan terbabit sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Peneroka dan pemilik kawasan Bukit Intan, Mohd Sharif Abdullah, 67, berkata kawasan Bukit Intan dikelilingi pokok kelapa sawit sebelum ini ditanam dengan pokok getah pada awal penerokaan di kawasan itu pada tahun 1980-an.

 

Papan tanda nama negara di seluruh negara menambah unik tempat ini.- Foto NSTP
Papan tanda nama negara di seluruh negara menambah unik tempat ini.- Foto NSTP

 

Ramai peneroka menemui batu-batuan kecil berwarna putih berkilau seperti batu intan.

“Penemuan batu kecil berkilau sebesar ibu jari itu menyebabkan lokasi itu menjadi tumpuan seketika apabila ramai orang datang mencari batu yang disangkakan batu intan.

“Ramai membawa batu kecil berkilau itu pergi ke kedai emas untuk menjual tetapi pekedai memaklumkan batu terbabit tidak cukup usia,” katanya.

Batu intan berkilau gamit pengunjung

Sejak peristiwa penemuan batu kecil berkilau dipercayai batu intan kawasan itu dikenali Bukit Intan sehingga hari ini.

Sebelum ini, Bukit Intan dipenuhi semak-samun tidak ada orang berkunjung untuk beriadah.

Selepas ditanam pokok kelapa sawit dan dibersihkan, dapat dilihat jelas pemandangan awan dan alam semula jadi di situ.

“Ladang saya jadi tumpuan ramai termasuk pengunjung dari luar kawasan selepas kisah tempat ini tular,” katanya.

Pengunjung ke bukit sama ada mendaki atau menggunakan kenderaan perlu mengutamakan aspek keselamatan diri. – BH

INFO: Bukit Intan

  • Terletak di kawasan FELDA Trolak Timur, Perak.
  • Bentuk muka bumi bergunung-ganang kerana kedudukannya berhampiran banjaran Titiwangsa.
  • Terdapat aliran air terjun bersih dengan udara nyaman.
  • Dari arah selatan gunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), keluar atau masuk menerusi Plaza Tol Slim River.
  • Pengunjung dari arah utara keluar atau masuk menerusi Plaza Tol Sungkai.
  • Jarak antara kedua-dua plaza tol ke simpang ke FELDA, 10 km.