Bermula hari ini, WhatsApp tidak lagi berfungsi bagi 3 model iPhone

Bermula hari ini, WhatsApp tidak lagi berfungsi bagi 3 model iPhone

 

Bermula hari ini, WhatsApp tidak lagi berfungsi bagi 3 model iPhone

Aplikasi WhatsApp tidak lagi boleh digunakan bagi tiga model iPhone bermula 5 Mei 2025, lapor Daily Mail.

Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan di laman rasmi WhatsApp, aplikasi tersebut hanya beroperasi bagi sistem iOS 15.1 ke atas.

Berikutan itu, pengguna iPhone 5s, iPhone 6 dan iPhone 6 Plus tidak lagi dapat menggunakan aplikasi tersebut untuk menghantar dan menerima mesej.

Menurut jurucakap WhatsApp, perkara ini merupakan rutin pemeriksaan tahunan syarikat tersebut.

“Setiap tahun, kami akan lakukan pantauan terhadap peranti dan perisian mana yang tertua dan mempunyai pengguna paling sedikit.

“Peranti ini juga mungkin tidak mempunyai kemas kini keselamatan terkini, atau mungkin kekurangan fungsi yang diperlukan untuk WhatsApp berfungsi,” jelasnya.

Susulan itu, WhatsApp tidak lagi berfungsi bagi peranti yang tidak dapat mengemas kini sistem operasi sekurang-kurangnya iOS 15.1.

Terdahulu, aplikasi Spotify dan Instagram turut tidak lagi boleh digunakan oleh pengguna ketiga-tiga versi iPhone yang diumumkan sebagai ‘lapuk’ oleh Apple.

Pengumuman rasmi oleh Apple itu bermaksud syarikat berkenaan tidak lagi menyediakan perkhidmatan berkaitan, menyediakan alat ganti atau mengeluarkan perisian penting dan kemas kini keselamatan bagi ketiga-tiga peranti tersebut.

“Peranti dan perisian sering berubah jadi kami perlu membuat semakan dengan kerap terhadap sistem pengendalian yang kami sokong dan lakukan pengemaskinian.

“Sebelum kami berhenti menyokong sistem pengendalian anda, anda akan dimaklumkan dalam WhatsApp dan peringatan akan diberi beberapa kali untuk menaik taraf,” tambahnya lagi.

Bagi pengguna yang ingin mengetahui versi sistem pengendalian peranti, pengguna boleh mengemas kini sistem di bahagian ‘Tetapan’. Pilih ‘Umum’ dan tekan bahagian ‘Perihal’. Di bahagian bawah, pengguna boleh menyemak versi sistem pengendalian di bahagian ‘Versi’.

Jika sistem pengendalian masih belum dikemas kini, pengguna boleh mengemas kini sistem dengan membuka bahagian ‘Umum’ dan pilih ‘Kemas Kini Perisian’. Pilihan ‘Kemas Kini Sekarang’ akan tertera jika terdapat sistem pengendalian versi baharu.