“Kos nak buang sama macam bayar downpayment kereta” – Watie Sadali menyesal suntik filler

“Kos nak buang sama macam bayar downpayment kereta” – Watie Sadali menyesal suntik filler
Pelakon dan penyanyi, Watie Sadali, 48, mendedahkan dia pernah membuat suntikan ‘filler’ di bahagian dagu hingga memberi kesan buruk pada wajahnya sebelum ini.
Watie atau nama sebenarnya, Norwati Sadali berkata, dia juga mengakui kesilapan yang dilakukan kerana tidak berfikir panjang ketika itu.
“Saya buat suntikan itu kerana terikut dengan orang lain.
“Saya pun tidak tahu pusat rawatan kecantikan itu menggunakan produk tiruan hingga dagu saya menjadi panjang seperti ‘ahli sihir’.
“Jadi, saya terpaksa keluarkan semula ‘filler’ itu bila keadaan semakin teruk untuk kembali ke keadaan asal,” katanya.
Ditanya kos rawatan pula, kata Watie, membuat suntikan ‘filler’ tidak mahal berbanding untuk mengeluarkannya dari wajah.
“Saya akui sudah buat kesilapan dulu tapi doktor beritahu, saya bernasib baik sebab buat di bahagian dagu saja kerana kalau buat di pipi, muka saya akan berubah menjadi orang lain.
“Nak buat suntikan kecantikan itu tidak mahal berbanding untuk mengeluarkannya kerana ia membabitkan kos seperti buat bayaran pendahuluan untuk beli kereta,” katanya.
Watie juga ingin menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan rawatan kecantikan atau pembedahan kosmetik untuk berjumpa dengan doktor pakar bertauliah.
“Kita patut bersyukur dengan kurniaan dari Allah dan tidak perlu untuk mengubahnya.
“Kalau nak sangat buat muka atau buat rawatan kosmetik, perlu berjumpa doktor pakar atau pusat rawatan bertauliah seperti di Korea Selatan,” katanya.