Berang diganggu, warga asing korek keluar bebola mata lelaki tempatan
Berang diganggu, warga asing korek keluar bebola mata lelaki tempatan.
Pergaduhan kerana mabuk berakhir ngeri apabila seorang lelaki warga asing mengorek keluar bebola mata lelaki tempatan dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Ara Kuda.
Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku selepas mangsa berusia 52 tahun dipercayai berada dalam keadaan mabuk didakwa mengganggu suspek berumur 28 tahun.
Difahamkan dalam pergaduhan itu, suspek mengorek keluar bebola mata kiri mangsa menggunakan tangannya.
Selain itu, mata kanan mangsa juga dilaporkan dicederakan dalam kejadian tersebut.
Mangsa kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.
Suspek diberkas polis di lokasi kejadian.
Difahamkan, bebola mata kiri dijumpai petugas Kementerian Kesihatan (KKM) tidak jauh daripada mangsa ketika mereka hadir untuk membawanya ke hospital bagi rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah.