Warga Nepal acu pisau, cuba larikan kanak-kanak perempuan 3 tahun ditahan polis
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun berdepan detik cemas apabila ditangkap dan cuba dilarikan seorang warga Nepal yang bersenjatakan pisau di hadapan sebuah kedai makan di pekan Jeniang di sini, kira-kira 7 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak itu meninggalkannya seorang diri di atas motosikal yang diparkir di tepi jalan untuk membayar dan mengambil tempahan roti canai di kedai berkenaan.
“Menurut bapa mangsa, anaknya ditinggalkan bersendirian dalam keadaan duduk di bahagian hadapan motosikal dan kakinya diletakkan di dalam raga motosikal. Jarak kedai makan dengan motosikal kira-kira enam meter.
“Menurut saksi di tempat kejadian, suspek berusia 26 tahun itu dilihat meluru ke arah mangsa lalu mendukungnya dan mengundur beberapa langkah sambil mengacukan pisau ke arah leher kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata suspek bercakap dalam bahasa tidak difahami (bahasa Nepal) seolah-olah mahu meminta wang untuk makan kepada bapa mangsa yang berada di hadapan suspek ketika itu.
“Bapa mangsa yang panik cuba menenangkan mangsa serta memujuk supaya suspek menyerahkan semula anaknya, lebih kurang dua hingga tiga minit. Dalam masa sama orang awam yang ada berhampiran berjaya menarik tangan suspek dari arah belakang dan mangsa berjaya diselamatkan.
“Suspek ditahan dan sebilah pisau berhulu kuning turut dirampas. Mangsa turut dirujuk ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan selanjutnya,” katanya.
Zaidy berkata siasatan awal mendapati suspek masuk ke negara ini sejak sebulan lepas untuk bekerja di sebuah kilang di Sungai Lalang di sini, namun melarikan diri daripada majikannya dipercayai akibat tekanan kerja.
“Semakan mendapati majikan suspek pernah membuat laporan polis pada 8 Nov lepas menyatakan suspek melarikan diri. Soal siasat awal mendapati motif suspek bertindak demikian kerana terlalu tertekan dengan hidupnya dan berada dalam keadaan kelaparan ketika kejadian kerana sudah beberapa hari tidak makan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya (ABKLSB) 1958.