Warga Amerika kongsi sebab kenapa pilih Malaysia sebagai tempat bersara

Warga Amerika kongsi sebab kenapa pilih Malaysia sebagai tempat bersara

 

Warga Amerika kongsi sebab kenapa pilih Malaysia sebagai tempat bersara

Seorang warga emas dari Amerika Syarikat (AS) berkongsi kisahnya bagaimana beliau menemui kehidupan baru selepas memilih untuk bersara di Malaysia.

Andrew Taylor, seorang lelaki berusia 70 tahun dari AS, membuat keputusan untuk bersara dan berpindah ke Malaysia pada usia 60 tahun.

Dalam wawancara dengan Business Insider, Taylor berkata bahawa sebelum ini beliau bekerja dalam bidang pentadbiran di Washington, DC selama 40 tahun.

Namun, kos sara hidup yang tinggi di AS membuatkan impiannya untuk bersara di tanah airnya kelihatan mustahil.

“Saya sedar, jika saya tinggal di AS, saya mungkin perlu bekerja sehingga usia 80 tahun,” kata Taylor.

Taylor mula mempertimbangkan untuk bersara di luar negara pada usia pertengahan 50-an.

Melalui bekas pasangannya yang tinggal di Pulau Pinang, Taylor diperkenalkan kepada program Malaysia My Second Home (MM2H).

Program yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2002 ini bertujuan menarik warga asing untuk bersara di Malaysia.

Taylor memohon visa MM2H pada penghujung 2014 dan berpindah ke Pulau Pinang pada 2015 selepas diluluskan.

Pada waktu itu, syarat untuk visa MM2H lebih longgar berbanding hari ini.

Namun, syarat MM2H kini telah diperketatkan dengan perubahan pada 2024, terdapat tiga kategori visa baharu: platinum, emas, dan perak.

Pemohon kini perlu mempunyai simpanan minimum antara RM660,000 hingga RM4.4 juta serta membeli hartanah di Malaysia, bergantung kepada kategori visa.

Selepas tujuh tahun menetap di Pulau Pinang, Taylor berpindah ke Kuala Lumpur tiga tahun lalu.

Beliau kini menyewa sebuah kondominium dua bilik tidur di tingkat 22, kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar, dengan kos sewa RM2,800 sebulan.

Kondominiumnya terletak dalam pembangunan lima blok yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti kolam renang dan gimnasium.

Taylor berkata kehidupan di Malaysia membolehkan beliau bersara dengan selesa.

Beliau membelanjakan kira-kira RM11,500 (USD2,500) setiap bulan untuk keperluan hidup, jauh lebih rendah berbanding kos di AS.

Beliau juga memiliki insurans kesihatan asas yang berharga RM340 sebulan, yang meliputi kos hospitalisasi.

“Kemudahan kesihatan di Malaysia sangat memuaskan. Anda tidak perlu menunggu lama untuk temu janji,” katanya.

Taylor turut menekankan betapa amannya kehidupan di Malaysia berbanding AS.

“Di tempat tinggal lama saya dekat Washington, kadang-kadang saya mendengar bunyi tembakan di luar tingkap. Di sini, itu langsung tiada. Saya tak pernah rasa tidak selamat walaupun berjalan seorang diri,” katanya.

Kini, Taylor menghabiskan masanya dengan menghasilkan video YouTube tentang kehidupan di Malaysia.

Taylor mengakui keputusan untuk berpindah ke luar negara tidak sesuai untuk semua orang, terutama mereka yang mempunyai keluarga rapat seperti anak, cucu, atau ibu bapa yang sudah tua.

Namun, bagi dirinya, yang tidak mempunyai ikatan keluarga yang kuat, keputusan ini sangat berbaloi.