Wanita tular curi telefon bimbit di kaunter diminta serah diri

Wanita tular curi telefon bimbit di kaunter diminta serah diri
Polis gesa wanita yang dikesan tular mencuri telefon bimbit di sebuah kedai makanan di Cheras Trader Square, Baru 9, di sini, Khamis lalu, untuk tampil menyerah diri.
Ini susulan wajah wanita terbabit yang juga suspek kes berkenaan sedang tular dan mudah dikenali.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek yang dirinya ketika dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan memakai tudung hitam disaran untuk menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis Daerah Kajang, mengesahkan menerima laporan kes berkenaan pada jam 9.48 malam, 27 Jun lalu (Jumaat) daripada mangsa.
“Mangsa memberitahu semasa sedang bekerja di premis berkenaan, telefon bimbit miliknya hilang dipercayai dicuri sebelum dia memeriksa CCTV dalam premis sama.
“Hasil pemeriksaan, CCTV merakam perbuatan suspek yang telah mengambil kesempatan mencuri telefon bimbit milik pengadu yang diletakkan di atas meja kaunter ketika itu,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dengan denda atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh berhubung dengan mana-mana balai polis atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Ammar Mohd Tahir ditalian 018-2586153 bagi membantu siasatan.