Wanita tolak kepala pakcik teksi hingga kopiah tercampak selepas terlibat kemalangan
![Wanita tolak kepala pakcik teksi hingga kopiah tercampak selepas terlibat kemalangan Wanita tolak kepala pakcik teksi hingga kopiah tercampak selepas terlibat kemalangan](https://beritaperak.com/wp-content/uploads/2025/02/bp-pakcik-teksi-e1739169691129.jpg)
Wanita tolak kepala pakcik teksi hingga kopiah tercampak selepas terlibat kemalangan
Tular di media sosial satu rakaman video menunjukkan seorang wanita bertindak menolak kepala seorang pemandu teksi dengan kasar sehingga kopiahnya terjatuh ke atas jalan selepas berlaku kemalangan jalan raya.
Menerusi rakaman dashcam berdurasi 18 saat, kemalangan berlaku apabila sebuah teksi berwarna biru melanggar bahagian belakang kereta Proton Saga putih di lorong kanan sebuah lebuh raya. Akibat perlanggaran itu, trafik di kawasan terbabit menjadi perlahan seketika.
Wanita berkenaan, dipercayai pemandu kereta putih, kelihatan marah sebelum meluru ke arah pemandu teksi terbabit. Dalam keadaan beremosi, dia menolak kepala lelaki itu dengan kasar hingga menyebabkan kopiah yang dipakainya tercampak ke jalan.
Pemandu teksi tersebut pula tidak melawan dan hanya tunduk mengambil semula kopiahnya.
Berdasarkan maklumat (Koordinat E101.6013, N2.9281), kejadian dipercayai berlaku berhampiran susur masuk ke Plaza Tol Putrajaya.
Video tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Rata-rata berpendapat tindakan wanita itu keterlaluan dan tidak beradab, terutama terhadap seorang warga emas.
Ada yang menyatakan, meskipun pemandu teksi itu bersalah dalam kemalangan tersebut, tidak wajar bertindak kasar terhadapnya.
Netizen turut membandingkan situasi itu dengan layanan terhadap seorang ayah sendiri, sambil menegaskan isu seperti ini seharusnya diselesaikan dengan lebih profesional, misalnya membuat laporan polis dan menuntut insurans.
Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai kejadian tersebut.