“Suka tanya bila bapa kau nak mat*?” – Wanita terkejut mentua ‘meratib’ harap suami cepat meninggal

“Suka tanya bila bapa kau nak mat*?” – Wanita terkejut mentua ‘meratib’ harap suami cepat meninggal
Seseorang yang menghidap penyakit kronik dan hanya mampu baring terlantar pasti memerlukan penjagaan rapi daripada ahli keluarga dan insan tersayang.
Namun menerusi hantaran di media sosial, seorang wanita meluahkan rasa kurang senang dengan sikap ibu mentuanya yang gemar menuturkan kata-kata cemuhan dan rungutan terhadap suami sendiri.
Lebih membuatkan dia terkejut ialah si ibu mentua sentiasa mengharapkan agar suaminya yang sedang sakit itu segera mati.
“Tak faham dengan mak mentua aku yang suka tanya… bila bapa kau nak mati? Abang abah kau dah meninggal minggu lepas,” luahnya.
Menurut wanita ini lagi, perkara yang lebih mengejutkan adalah semua harta bapa mentuanya sudah dipindah milik.
Malah simpanan di beberapa institusi kewangan juga telah diserahkan kepada ibu mentuanya.
“Ayah mentua aku dah lama sakit… terbaring je. Dulu kerja bank dan masa dia dah tak sihat, mak mentua tukar nama semua harta kepada nama dia.
“Kereta, simpanan ASB (Amanah Saham Bumiputera), Tabung Haji semua dah transfer ke akaun mak mentua aku,” kongsinya lagi.
Pengadu bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci penyakit yang dihidapi bapa mentuanya itu.
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan warga maya menyelar sikap wanita ini dan menyifatkannya tidak memahami akan kesusahan dialami si ibu mentua.
Malah ada yang berkongsi pengalaman tentang menjaga individu sakit kronik dan terlantar.
“Kau sendiri cakap ayah mentua dah lama terbaring, ingat senang ke jaga orang sakit dan bedridden seorang diri?
“Ayah aku sakit 14 tahun dan tiada inisiatif nak sihat… mak aku pun meratib macam mentua kau ni tapi aku faham kenapa mak aku macam tu. Orang sakit perangai lain.
“Mak pun dah tua, kudrat tak kuat mana. Nak mandikan, basuh berak, suap makan. Anak-anak pula perangai macam korang, tak membantu.
“Dah la tak tolong jaga, kemudian burukkan ibu mentua dekat media sosial. Ni mesti kes sakit hati sebab semua harta dapat dekat ibu mentua,” demikian reaksi warga maya.