Wanita didakwa sebar, simpan gambar lucah guru yang juga madunya

Wanita didakwa sebar, simpan gambar lucah guru yang juga madunya

 

Wanita didakwa sebar, simpan gambar lucah guru yang juga madunya

Ejen pelaburan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan termasuk menyebar dan menyimpan gambar lucah seorang guru yang juga madunya, pada Mac lalu.

Tertuduh, Herni Sofini Omar, 53, membuat pengakuan di hadapan Majistret Utman Abd Ghani sejurus dibacakan dan diterangkan pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah dan meminta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama dia didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 45 tahun (pengadu) dengan menyebarkan gambar-gambar lucah melalui kiriman surat.

Herni Sofini didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK), jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, dia didakwa menyampaikan ugutan jenayah terhadap pengadu sama melalui surat tanpa nama yang menyembunyikan identitinya pada masa, tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 KK, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga dua tahun, selain hukuman yang ada diperuntukkan bagi kesalahan itu oleh Seksyen 506 KK.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Jalan Meranti 3, Taman Sayang Selasih, dekat sini pada 27 Mac lalu, kira-kira jam 2 petang.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada 6 Jun lalu, kira-kira jam 3 pagi bertempat di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didapati memiliki gambar-gambar lucah milik pengadu sama di dalam telefon bimbitnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292KK, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM24,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, namun peguam Baharudin Baharim merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya bekerja sendiri dan menanggung empat anak, tiga masih bersekolah.

Katanya, tertuduh yang ditinggalkan suami sejak kes itu tiada risiko melarikan diri malah bekerjasama penuh dengan polis dalam siasatan kes itu.

“Anak guam saya juga baru diagnosis menghidap barah dan sudah menjalani pembedahan, pohon jaminan keseluruhan RM4,000,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan sementara dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.