Wanita dilapor hilang ditemui lemas

Wanita dilapor hilang ditemui lemas

 

Wanita dilapor hilang ditemui lemas

Misteri kehilangan seorang wanita terungkai apabila mayatnya ditemui terapung dalam keadaan terlentang di Sungai Muar, berhampiran Dataran Tanjung Emas, di sini.

Mayat wanita berusia 52 tahun itu yang dalam keadaan lengkap berpakaian serta sedang hanyut dibawa arus ditemui orang awam yang kebetulan berada di dataran terbabit.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata polis yang menerima laporan jam 1.20 tengah hari menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat dan mendapati wanita itu meninggal dunia, dipercayai akibat lemas.

“Pemerhatian awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah pada mayat terbabit. Usaha menaikkan mayat dijalankan dengan bantuan bomba,” katanya dalam kenyataan.

Kata Raiz Mukhliz lagi, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kira-kira dua jam selepas penemuan mayat itu, polis menerima aduan berhubung kehilangan ahli keluarga.

“Pengadu kemudian dibawa ke HPSF untuk proses pengecaman dan identiti wanita itu disahkan oleh pihak keluarga,” katanya.

Beliau meminta saksi lain yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian 06-9564800 atau Asisten Superintendan Suhaimi Ahmad di talian 013-3975290.