Wanita China ‘kantoi’ bayar sewa bilik hotel RM8,700 guna wang palsu

Wanita China ‘kantoi’ bayar sewa bilik hotel RM8,700 guna wang palsu

 

Wanita China ‘kantoi’ bayar sewa bilik hotel RM8,700 guna wang palsu

Tindakan seorang wanita warga China membayar sewa bilik sebuah hotel di ibu kota menggunakan wang palsu mengundang padah apabila diberkas pada Khamis.

Turut ditahan dua lagi rakannya yang juga wanita warga China dipercayai berperanan sebagai ejen sindiket pengedaran wang palsu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati suspek membuat bayaran sewa bilik hotel sebanyak RM8,700 menggunakan 87 keping wang kertas RM100 yang disahkan palsu.

“Hasil siasatan lanjut, pihak polis berjaya menahan kesemua tiga wanita berusia antara 18 hingga 47 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut.

“Turut dirampas beberapa barang termasuk 87 keping wang tunai RM100 palsu, satu keping wang tunai RM50, satu keping wang tunai RM20, dua beg silang berjenama, kad akses unit 18-03 serta tiga unit telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek telah ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai diminta sentiasa berwaspada terhadap wang kertas secara fizikal seperti yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang mengesyaki menerima wang palsu diminta tidak mengedarkannya semula, sebaliknya menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.