Wanita bawa stroller bengang golongan bujang guna lif cetus pelbagai reaksi

Wanita bawa stroller bengang golongan bujang guna lif cetus pelbagai reaksi
Umum mengetahui, fasiliti lif di tempat awam seperti pusat membeli-belah adalah kemudahan untuk pengunjung.
Biasanya, pihak pengurusan akan memaparkan senarai golongan yang perlu diberi keutamaan menggunakan kemudahan lif.
Namun, isu kemudahan lif ini sering menjadi perdebatan di media sosial tentang keutamaan golongan dalam menggunakan fasiliti itu.
Seperti yang berlaku baru-baru ini, seorang wanita yang juga TikToker meluahkan rasa kesal apabila dia mengalami kesukaran untuk menggunakan lif di sebuah pusat membeli-belah kerana didakwa dipenuhi dengan individu bujang.
Dalam video yang dikongsikan, TikToker yang dikenali sebagai Ain Mak Rentan itu sedang menunggu lif bersama suami dan anak-anak kecilnya sambil membawa stroller.
Dia meminta golongan bujang yang sihat untuk menggunakan eskalator supaya tidak menyusahkan golongan ibu bapa yang membawa anak kecil bersama stroller yang terpaksa menunggu lama untuk menaiki lif.
“Ini yang aku marah ni, kau sihat-sihat naik lah eskalator, yang kau sibuk nak naik lif juga dah kenapa, menyusahkan kitorang yang ada anak ni,” katanya.
@ainmakrentan Cuba la bagi kat ibu bapak yang bawak stroller lift tu. penat aku tunggu #CapCut #makrentan #melaka #klcc #stroller
Dalam video itu, dia turut menunjukkan pelekat peringatan mengenai keutamaan lif oleh pihak pengurusan pusat membeli-belah itu yang ditampal bersebelahan pintu lif.
Perkongsian itu telah mencetuskan pelbagai reaksi netizen, ada yang bersetuju dengan teguran wanita tersebut namun ada yang memberi pendapat sebaliknya.
Kebanyakan netizen menyelar individu yang mementingkan diri dan tidak peka dengan keadaan sekeliling jika ketika itu ada golongan yang sepatutnya diberi keutamaan.
Pun begitu, ada juga yang menekankan tentang hak individu dan menegur semula TikToker terbabit untuk tidak membazir masa menunggu lif.