Waktu menunggu di klinik kerajaan dipendekkan tiga jam ke 30 minit

Waktu menunggu di klinik kerajaan dipendekkan tiga jam ke 30 minit

 

Waktu menunggu di klinik kerajaan dipendekkan tiga jam ke 30 minit

Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mengurangkan tempoh waktu menunggu dari tiga jam kepada 30 minit bagi perkhidmatan yang ditawarkan di klinik kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pencapaian itu dilakar menerusi tekad pelaksanaan agenda transformasi digital kesihatan.

Beliau berkata 2025 adalah tahun untuk bekerja dengan melaksanakan segala perancangan yang dirangka bagi merealisasikan agenda berkenaan.

“Kita sudah pun mendigitalisasikan perkhidmatan utama, mengurangkan waktu menunggu di klinik penjagaan primer utama dari tiga jam kepada hanya 30 minit.

“Dari 107 klinik antara 2007 hingga 2022 kepada 159 klinik pada 2024.

“Pada awal tahun ini saja, ia (jumlah klinik terbabit) meningkat sebanyak 48.6 peratus. 2025 adalah tahun pelaksanaan. Masa untuk menunaikan apa yang dijanjikan,” katanya menerusi hantaran di platform X semalam.

Pada sidang Dewan Rakyat tahun lalu, Dr Dzulkefly berkata KKM menyasarkan untuk melaksanakan transformasi digital kesihatan di setiap fasiliti kesihatan seluruh negara dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata pelaksanaan transformasi itu menerusi strategi ‘satu individu satu rekod’ akan dimulakan dengan penggunaan rekod perubatan elektronik (EMR) di setiap fasiliti kesihatan yang terlibat.

Untuk itu, jelasnya pendekatan yang diambil berteraskan strategi ‘reform, relook, recalibrate dan realize’, merangkumi aktiviti konsolidasi unit digital di KKM.

Ia termasuk melihat kembali semua sistem digital di KKM selain menetapkan strategi pendigitalan baharu mengikut arus teknologi terkini serta melaksana dan memantau pelaksanaan yang sudah pun dirancang.

Transformasi kesihatan digital antara fasiliti kerajaan dan swasta juga merupakan tumpuan KKM dalam meningkatkan aksesibiliti, keselamatan dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.