“Dia adalah sumber rezeki” – Kehilangan amat dirasai, Wahid Senario rindu lama tak jumpa Yassin
“Dia adalah sumber rezeki” – Kehilangan amat dirasai, Wahid Senario rindu lama tak jumpa Yassin
Ketiadaan pelawak Yassin dalam banyak aktiviti seni kumpulan Senario terus menjadi tanya tanya ramai sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
Mengakui lama tidak berjumpa, salah seorang anggota Senario iaitu Wahid meluahkan rasa rindu terhadap rakannya itu.
Bagi Wahid atau Abdul Wahid Mohamad, 50, Yassin memainkan peranan penting dalan perjalanan kerjaya seni Senario dan ketiadaannya amat dirasai.
“Memang sangat rindu. Saya tidak malu mengaku dia adalah sumber rezeki sebab Yassin rajin mencari peluang tawaran kerja.
“Apabila dia tiada, saya rasakan satu kehilangan. Saya ada kongsi satu video bersama dia dan itu kali terakhir kami berjumpa.
“Saya juga tidak sempat menghantar dia ke lapangan terbang sebelum ini,” katanya kepada mStar.
Wahid bersama lima anggota lain Senario hadir ketika sesi Meet and Greet duta jenama Jakel yang berlangsung di Shah Alam pada Sabtu.
Sebelum ini kisah Yassin menjadi bualan ramai kerana dilihat tidak hadir bersama menjayakan aktiviti kumpulan tersebut.
Selain Wahid dan Yassin, kumpulan Senario turut dianggotai oleh Azlee, Lan Pet Pet, Saiful Apek serta Pak Ya.
Masih dengan pendekatan berdiam, Wahid enggan mengulas ketiadaan Yassin yang dikaitkan dengan berita penangkapan seorang pelawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada Oktober tahun lalu kerana memiliki ganja.
“Saya tidak boleh nak bercakap apa. Sebagai kawan, kami tetap akan berdiam. Perkara ini melibatkan keluarga,” ujarnya.
Dalam masa sama, Wahid juga berharap apa pun berlaku terhadap rakannya akan menjadi satu hikmah besar di masa akan datang.
Malah dia juga mengingatkan agar orang ramai tidak mudah membuat sebarang spekulasi tanpa mendapatkan berita yang sahih.
“Saya harap apa yang berlaku tidak akan menjadi tanda tanya ramai. Kalau boleh janganlah fikir yang bukan-bukan.
“Semua yang telah berlaku adalah kerja Allah dan sudah tertulis. Walau dia dihina sekarang ini, pasti akan ada satu perkara baik menanti dia,” luahnya.