Parkir lebih setahun, pemilik Volkswagen Golf disaman hampir RM1juta
Parkir lebih setahun, pemilik Volkswagen Golf disaman hampir RM1juta
Pemilik sebuah kereta Volkswagen Golf disaman dengan nilai mencecah enam angka selepas meletakkan kenderaannya di parkir sementara, dekat pintu masuk ke lapangan terbang antarabangsa di sini, selama lebih setahun.
The Sun melaporkan, pemiliknya disaman 170,000 pound sterling (kira-kira RM939,058).
Kereta berwarna kelabu itu ditinggalkan pemiliknya yang belum diketahui identiti, walaupun kakitangan lapangan terbang sudah melakukan pelbagai usaha untuk mengenal pasti pemilik.
Kenderaan itu sepatutnya menggunakan parkir di situ, untuk jangka masa singkat.
Kadar parkir di situ adalah percuma untuk 10 minit pertama, 15 minit berikutnya (4.20 pound sterling/ kira-kira RM23) dan setiap minit tambahan (1.60 pound sterling/ kira-kira RM8.80)
Kenderaan diparkir sejam di tempat letak kereta itu menyebabkan pemandu perlu membayar 19.30 pound sterling (kira-kira RM106).
Itu bermakna caj parkir sehari untuk kereta di luar lapangan terbang Jerman itu adalah 464 pound sterling (kira-kira RM2,563).
Caj tinggi itu menjelaskan bagaimana kereta memperoleh penalti yang tidak masuk akal.
Kakitangan lapangan terbang dan pihak berkuasa tempatan buntu memikirkan apa yang perlu dilakukan dengan kereta itu.
Mereka tidak tahu milik siapa atau mengapa ia tersadai di parkir itu untuk jangka masa yang lama.
Akhbar Jerman, Bild melaporkan satu teori yang mencadangkan kereta itu dicuri dan diletakkan di situ.
Satu lagi akhbar Jerman, Berliner Zeitung, bertanya kepada polis dari Hanover dan Berlin mengenai kereta itu, tetapi tiada maklumat mengenainya ditemukan dalam mana-mana rekod.