“Mereka macam susah nak terima” – Vokalis Dayana dakwa diabaikan anak selepas kahwin kali ke-3

“Mereka macam susah nak terima” – Vokalis Dayana dakwa diabaikan anak selepas kahwin kali ke-3

 

“Mereka macam susah nak terima” – Vokalis Dayana dakwa diabaikan anak selepas kahwin kali ke-3

Vokalis Kumpulan Dayana, Ahmad Ramli Yaakop, 61, tidak dapat menahan sebak berkongsi mengenai kehidupannya yang kini tinggal bersama isterinya, Fadzilah Rosman, 57, tanpa dihiraukan anak-anak.

Ramli mendakwa, dia dan isteri sedih apabila anak-anak seperti menjauhkan diri.

“Mungkin sebab saya berkahwin lain, anak-anak macam susah nak terima. Mungkin mereka berpendapat kami berkahwin sebab gatal.

“Ini adalah perkahwinan ketiga saya dan isteri, tapi kami sudah buktikan kami bahagia selepas enam tahun bersama.

“Namun, anak-anak tidak faham. Kami mahu buktikan kami berkahwin bukannya sebab lain, hanya mahukan peneman hidup ketika susah dan senang. Jadi, agak sedih kami dibiarkan.

“Mereka seperti tidak mahu ambil tahu. Saya orang tua, mudah sensitif dan terasa hati.

“Kami sekarang dibela oleh adik angkat. Apa sahaja kami minta, dia turutkan. Alhamdulillah, Yayasan Kebajikan Artis Veteran (YKAT) berikan sumbangan, ini buatkan saya menangis. Terima kasih banyak kerana prihatin,” katanya kepada BH Online.

Menerusi dua perkahwinan terdahulu, Ramli dikurniakan empat cahaya mata, begitu juga perkahwinan Fadzilah memiliki empat anak.

Ramli berkongsi keluh resah hatinya ketika hadir menerima sumbangan sempena Hari Natal dan Tahun Baharu Cina daripada YKAT di Dewan Maraz, Brickfields, petang tadi.

Ramli antara 15 artis veteran menerima sumbangan RM1,000 setiap seorang.

Bagi meneruskan kehidupan, Ramli berkata, dia kini aktif dalam TikTok untuk menjana pendapatan apabila kurang terima undangan persembahan.

“Saya masih aktif menyanyi, tapi bergerak solo. Ini kerana anggota Dayana sudah ada komitmen. Saya anggota paling tua, tetapi aktif menyanyi terutamanya dalam TikTok.

“Itu sahaja cara saya nak meneruskan kehidupan. Walau tak banyak pulangan diterima, tapi saya bersyukur sesi ‘live’ di sebelah pagi, petang dan malam dapat membantu saya.

“Saya sebenarnya disuruh oleh biras untuk aktif dalam TikTok. Jujurnya, saya sudah putus asa selepas album tak laku. Ketika itu, media sosial tak hangat, jadi saya rasa ‘down’ dan persembahan pula tiada, jadi saya merajuk balik kampung,” katanya.

Ramli berkata, dia memutuskan bekerja di sebuah kilang di Ipoh, Perak dan ia bertahan selama enam tahun.

“Tapi, ada sedikit masalah di kilang, kemudiannya saya memandu lori antara 2002 sehingga 2019. Saya memang tak pedulikan dunia seni. Tapi isteri memberi sokongan untuk saya aktif menyanyi semula.

“Malah, kawan-kawan turut menyokong. Alhamdulillah, mereka menguatkan semangat untuk menaikkan nama saya semula sebagai penyanyi. Isteri banyak memuat naik video dalam media sosial untuk mempromosi saya.

“Dari situ, saya aktif buat ‘live’ dalam TikTok. Sekarang, pengikut saya sudah mencecah 26,000. Saya kembali bukan mahu popular, tapi kerana jiwa.

“Namun, kalau tiada semangat daripada isteri, semua ini tak menjadi juga. Dialah orang paling banyak menyokong saya,” katanya.

Sementara itu, Ramli meluahkan harapan penganjur memberikan bayaran berpatutan buatnya.

“Saya letak harga tak mahal, hanya RM1,500 untuk persembahan selama satu jam setengah, tapi mereka letakkan RM500 sebagai bayaran. Saya tak sanggup nak buat sebab patutnya pada usia begini lebih dihargai.

“Saya mohon pada penganjur janganlah berkira sebab saya lihat ada artis tiada nama dipanggil, tapi boleh dibayar mahal. Ia tak adil bagi kami,” katanya.

Kumpulan Dayana pernah popular dengan lagu Punca, Hari Penentuan dan Engkau Yang Pasti. Dayana ditubuhkan pada 1988 dan aktif pada era 1990-an.