Virus HMPV menular di China, ini yang anda perlu tahu
Virus HMPV menular di China, ini yang anda perlu tahu
Sejak dari dulu lagi, dunia telah menjadi ‘mangsa’ kepada pelbagai wabak yang berbahaya. Malah sebahagian besar populasi manusia pernah beberapa kali terancam kerana penularan wabak tertentu.
Contohnya seperti penularan wabak Black Death pada abad ke-14 dianggarkan telah mengorbankan kira-kira 70 peratus populasi Eropah ketika itu.
Manakala pandemik influenza pada awal 1900 pernah menyaksikan kira-kira 75 juta orang manusia dijangkiti.
Selain itu, wabak Covid-19 yang bermula dari China turut dilaporkan telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun.
Negara Asia Timur ini dikatakan sekali lagi berdepan dengan ancaman satu lagi virus yang menyerang sistem pernafasan iaitu metapneumovirus (hMPV).
Menurut portal Firstpost, metapneumovirus manusia (hMPV) adalah sejenis virus RNA yang tergolong dalam Pneumoviridae dan genus Metapneumovirus.
Virus hMPV bukanlah virus yang baru dan kali pertama ditemui oleh penyelidik Belanda pada 2001.
Penemuan tersebut dibuat menerusi kajian ke atas sampel kanak-kanak yang mengalami masalah jangkitan pernafasan.
Kajian turut menunjukkan bahawa virus ini telah wujud sekurang-kurangnya selama enam dekad, malah telah merebak ke seluruh dunia sebagai patogen pernafasan yang biasa.
Difahamkan, virus ini menular melalui titisan atau aerosol disebabkan batuk atau bersin dan kontak rapat atau terdedah kepada persekitaran yang tercemar.
Tempoh inkubasi virus ini adalah dari tiga hingga lima hari. Manakala tindak balas imun yang disebabkan oleh virus hMPV adalah lemah untuk menghentikan jangkitan berulang.
Antara gejala hMPV:
- batuk
- demam
- hidung tersumbat
- nafas berbunyi seperti wisel
Bagi kes yang teruk, pesakit boleh mengalami bronkitis atau radang paru-paru terutamanya di kalangan bayi, warga emas dan golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Golongan yang menghidap asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) atau fibrosis pulmonari merupakan individu yang paling berisiko tinggi.
Setakat ini, tiada vaksin spesifik yang tersedia untuk pesakit kerana rawatan biasanya terhad bagi mengurangkan gejala dihadapi.