Jualan semakin baik, Vincent Tan sifatkan rakyat Malaysia sedar Starbucks tak berkait dengan perang
Jualan semakin baik, Vincent Tan sifatkan rakyat Malaysia sedar Starbucks tak berkait dengan perang
Pada sepanjang tahun lalu Starbucks Malaysia sering dilaporkan mengalami kerugian.
Namun dalam satu perkembangan terbaharu, pengasas Berjaya Group, Vincent Tan menyatakan jualan Starbucks Malaysia semakin meningkat, serta masalah boikot di cawangan semakin berkurangan, petik Free Malaysia Today.
Beliau menyifatkan perkembangan itu disebabkan pengguna lebih realistik dan sedar ketiadaan sebarang kaitan antara syarikat itu dengan konflik Israel-Palestin.
“Orang ramai menjadi lebih realistik. Kami tidak boleh berbuat apa-apa tentang apa yang Israel lakukan, atau apa yang berlaku di Gaza.
“Orang ramai sedar (Starbucks Malaysia) tidak mencederakan sesiapa. Jika anda memboikot Starbucks, apakah kesannya kepada Israel? Amerika Syarikat (AS) akan menghantar lebih banyak wang kepada mereka,” katanya selepas melancarkan Brahmarpanam Soup Kitchen hari ini.
Tambah beliau lagi, Starbucks Malaysia akan menumpukan kepada usaha menyatukan perniagaannya. Seterusnya mengalu-alukan pelanggan kembali ke premisnya.
Pada November tahun lalu, Berjaya Food Bhd mencatatkan kerugian bersih RM33.68 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (1Q25).
Berjaya Food menyatakan bahawa boikot anti-Israel yang berlarutan memberi impak besar kepada operasi Starbucks di Malaysia, yang turut terpalit dengan kontroversi sentimen politik semasa.