[Video] Wanita pukul kanak-kanak autisme diberkas polis

[Video] Wanita pukul kanak-kanak autisme diberkas polis

 

POLIS memberkas seorang wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam kes memukul seorang kanak-kanak autisme di sebuah pusat asuhan, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berumur 50-an merupakan pengurus di pusat asuhan kanak-kanak tersebut.

“Kejadian disedari kira-kira jam 12.45 tengah hari Jumaat ketika seorang bapa hendak mengambil anaknya iaitu mangsa yang berumur enam tahun di pusat asuhan kanak-kanak berkenaan.

“Bapa mangsa mendapati kesan lebam pada bahagian bahu kiri dan kedua-dua bahagian mata anaknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, salah seorang guru di pusat jagaan berkenaan mendakwa kanak-kanak itu menghantukkan kepala pada meja kerana tidak mahu makan.

“Curiga dengan keadaan anaknya itu, bapa mangsa melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan mendapati suspek bertindak kasar apabila mangsa mengelak untuk makan.

“Bapa mangsa juga ada bertanya kepada kanak-kanak itu tetapi tiada jawapan,” katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang kemudian memberkas suspek yang merupakan pengurus pusat asuhan kanak-kanak berkenaan.

“Tujuh pelajar di pusat asuhan tersebut termasuk mangsa berstatus orang kurang upaya (OKU) autisme,” katanya.

Tambah beliau, siasatan mendapati pusat berkenaan telah beroperasi selama tujuh tahun.

“Bagaimanapun, semakan mendapati lesen pusat asuhan ini sudah tamat tempoh pada dua bulan lalu,” katanya.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1952.

 

Sumber: Malaysiapost