[Video] Trak polis bawa OKT terbabit kemalangan
[DIKEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal maut digilis trak Black Maria polis yang membawa 29 banduan yang dalam perjalanan ke Pusat Tahanan Kuarantin Covid-19 Kuala Krai di Demit di sini pada Selasa.
Kejadian pada jam 9 pagi itu meragut nyawa, Muhammad Khalis Mifzal Mohd Kamal, 21.
Kemalangan turut mengakibatkan trak jenis Hino tiga tan berkenaan dan motosikal jenis Yamaha LC milik mangsa hangus. sementara itu kesemua banduan dan empat anggota polis termasuk pemandu trak terselamat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, trak berkenaan bersama sebuah lagi Black Maria lain yang membawa 31 lagi banduan bersama dua kereta pengiring berkonvoi dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menuju Pusat Kuarantin Covid-19 di Batu Jong, Kuala Krai.
Katanya, mangsa pula menunggang motosikal dari arah Kubang Kerian ke Pengkalan Chepa untuk ke latihan kelas memandu.
“Tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai terlanggar belakang sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang wanita.
Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah Black Maria yang datang dari arah bertentangan.
“Pemandu Black Maria itu menekan brek sejauh kira-kira 50 meter dan tidak sempat mengelak lalu tergilis mangsa manakala motosikal terperosok ke bawah trak,” katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian pada Selasa.
Beliau berkata, pergeselan trak dan motosikal mengakibatkan dua kenderaan itu terbakar.
“Polis dari kenderaan pengiring yang menyedari kemalangan dan melihat api segera menyelamatkan 29 banduan tersebut naik ke sebuah lagi Black Maria yang turut berhenti.
“Kesemua banduan itu kini ditempatkan sementara di Balai Polis Kubang Kerian manakala mayat di hantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.
Pemandu kereta Proton Saga pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Siasatan 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran Black Maria berkenaan pada jam 9.24 pagi.
“Tujuh anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi dan berjaya memadamkan api sepenuhnya dalam tempoh 10 minit.
“Bomba dibantu polis yang menutup jalan dari kedua-dua arah untuk kerja-kerja membersihkan kawasan kemalangan,” katanya. – SH