Video suami isteri bertengkar di pasar raya hanya gimik pakej umrah

Video suami isteri bertengkar di pasar raya hanya gimik pakej umrah
Video tular memaparkan pasangan suami isteri bertengkar di salah sebuah cawangan pasar raya ST Rosyam Mart sebenarnya hanyalah gimik pelancaran pakej umrah hasil kerjasama antara pasar raya itu dan Ikhlas.com.
Pemiliknya yang juga pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor berkata, gimik tersebut merupakan strategi pemasaran untuk menarik perhatian masyarakat melalui emosi atau pendekatan memancing emosi ‘triggered’.
Justeru, beliau memaklumkan pihaknya cuba menyampaikan mesej baik dengan cara menyentuh emosi orang ramai melalui video tular tersebut.
“Jika kita tengok zaman hari ini, dipanggil zaman digital yang mana semua manusia ada internet. Jika dulu untuk dapatkan berita (kena) beli surat khabar.
“Hari ini semua orang nak jadi wartawan sendiri. (Jadi melalui video viral ini ia untuk) sampaikan risalah (yang) baik kita kena guna term ‘triggered’ orang apa yang berlaku,” katanya
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pada Majlis Korban Perdana dan Rewang Kenduri Ikhlas.com X ST Rosyam Mart di Masjid Meranti, Puchong pada Sabtu.
Terdahulu, tular beberapa video tular di laman sosial menjelang Aidiladha tentang tindakan seorang lelaki yang mengherdik seorang wanita sebelum mencampak beberapa barang dalam troli di sebuah pasar raya sehingga mengundang pelbagai reaksi umum.
Menurut Rosyam, pendekatan itu bukan bertujuan mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya mahu memperkenalkan kerjasama bermanfaat antara dua pihak kepada masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, video tersebut merupakan bentuk ‘dakwah pilihan’ bagi menyampaikan mesej secara lebih kreatif dan dekat dengan masyarakat.
Menurutnya, video itu menggambarkan pergaduhan menjelang Hari Raya Aidiladha, namun mesej hendak dibawa adalah ibadah korban dan tawaran umrah pada harga mampu milik.