Polis siasat video palsu guna AI papar individu menyerupai bekas Ketua Polis Negara

Polis siasat video palsu guna AI papar individu menyerupai bekas Ketua Polis Negara
Polis sedang menyiasat kes video tular memaparkan individu menyerupai bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang dikaitkan dengan penerimaan bantuan kewangan daripada seseorang bergelar ‘Datuk’.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata video dikesan di platform media sosial TikTok pada 20 Jun lalu itu adalah tidak benar dan telah dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Video terbabit yang dikaitkan dengan penerimaan bantuan kewangan daripada individu bernama ‘Datuk Abdul Ghani’ dan kononnya telah dimasukkan ke dalam bank, adalah palsu serta tidak berasas.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menegaskan Ketua Polis Negara ke-13 tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dipaparkan dalam video itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu, Hussein berkata, Acryl Sani telah membuat satu laporan polis, sekali gus menafikan rakaman video terbabit adalah kenyataan rasminya.
Orang ramai turut dinasihat tidak menyebarkan semula video itu, selain diminta sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau berkongsi kandungan dalam media sosial.
“Polis Selangor memandang serius penyalahgunaan teknologi seperti AI untuk tujuan penipuan atau fitnah yang boleh mencemarkan nama baik mana-mana pihak.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyebaran maklumat palsu ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.