Video berasak cium Hajar Aswad tular di luar negara, ini respon Hafiz Mahamad
Tular semula di media sosial mengenai video seorang influencer dan usahawan, Hafiz Mahamad yang dilihat berhimpit dan berasak dengan jemaah lain untuk mencium hajar aswad bersama pasukannya semasa mengerjakan umrah.
Bagaimanapun, video terbabit ditularkan oleh pengguna media sosial di luar negara dan telah mencetuskan kontroversi apabila video itu didakwa telah mencemarkan agama Islam di mata dunia.
Individu yang memuat naik semula video terbabit telah menimbulkan provokasi dengan mendakwa keselamatan wanita di Tanah Suci Mekah terancam.
Susulan itu, rata-rata netizen Malaysia melahirkan rasa kurang senang dan berasa malu dengan tindakan Hafiz yang tidak berhati-hati ketika melakukan content di media sosial.
Lantaran ramai yang memperkatakan mengenai video terbabit, Hafiz menerusi Instagram Story meminta agar dirinya diberi masa untuk menjernihkan isu tersebut.
Katanya, walaupun ada yang menasihatinya untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, namum dia mahu memikul tanggungjawab atas video yang tular itu.
“Ada yang nasihat untuk saya diam. Tapi saya nak bertanggungjawab kerana agama atas statement atau perception daripada Tweet ini.
“Bagi saya masa untuk kukuhkan input dan minta pandangan daripada pakar supaya kesilapan lama tidak akan berulang. Doakan saya ada kemampuan untuk usahakan perkara ini,” katanya.
Semoga perkara ini menjadi pengajaran untuk kita semua agar sentiasa berhati-hati jika mahu melakukan sesuatu content.