Ustaz Firdaus tawar ganjaran RM3,000 kesan Toyota Alphard hilang

Ustaz Firdaus tawar ganjaran RM3,000 kesan Toyota Alphard hilang

 

Ustaz Firdaus tawar ganjaran RM3,000 kesan Toyota Alphard hilang

“Setakat ini belum ada perkembangan lanjut mengenai kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard saya yang masih hilang itu dan saya berharap ia ditemui segera.

“Ganjaran RM3,000 akan diberikan kepada individu yang menemuinya kenderaan itu selain RM1,000 jika terjumpa barangan berharga dalam kenderaan itu,” kata Mohd Firdaus Mat Akhir, 37.

Mohd Firdaus atau lebih dikenali sebagai Firdaus Firabib adalah Pengarah Urusan Firabib Group Sdn Bhd yang kehilangan kenderaan bernombor pendaftaran VM7515 itu ketika meletakkannya di parkir kenderaan di sebuah hotel di Ipoh, Perak, semalam.

Menurutnya, akibat kehilangan kenderaan itu, dia mengalami kerugian kira-kira RM300,000.

Namun katanya, setakat ini dia tidak menerima panggilan daripada mana-mana pihak malah masih berharap kenderaan itu ditemui segera.

Katanya, dia datang ke Perak untuk mempromosikan perniagaan miliknya, Nasi Kabsah bersama Tehyeish bermula 15 hingga 18 Mei di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kenderaan itu bergerak keluar dari pekarangan hotel pada jam 5.25 pagi hari kejadian.

“Saya tak sedih sangat kehilangan kereta itu cuma terharu dengan sokongan daripada semua sahabat yang nak tolong cari kereta saya.

“Terima kasih hinggakan ada yang nak tolong datang dari Pulau Pinang nak cari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Firdaus berkata, dia sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak berhubung kehilangan kenderaannya itu.

Dalam kejadian itu, Toyota Alphard itu dilaporkan hilang di parkir sebuah hotel di Sungai Senam, Ipoh.

Kejadian disedari ketika Mohd Firdaus ketika hendak keluar dari hotel itu pada jam 12 tengah hari dan kenderaan itu diparkir pada jam 11.30 malam sebelumnya yang dikunci dengan baik.

Antara barangan yang ada dalam kenderaan itu, sebuah dron dan sebuah kamera berjenama.