UMNO sedia bentuk kerajaan bersama PH termasuk DAP
UMNO tidak menolak kemungkinan mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP bagi membentuk kerajaan negeri baharu di Perak.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan keputusan Pas dan Bersatu yang tidak menyokong pembentukan kerajaan baharu di negeri ini.
Menurutnya, namun pembentukan gabungan jajaran politik baharu itu tertakluk kepada keputusan muktamad oleh kepimpinan tertinggi parti.
“UMNO dan BN seboleh mungkin mahu kerajaan di bawah menteri besar Perak yang lalu dikekalkan. Namun berikutan kenyataan Pas dan Bersatu (tidak sokong pembentukan kerajaan negeri yang baharu) maka satu pendekatan akan diambil oleh UMNO bagi menentukan pembentukan kerajaan baharu.
“Ini akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang akan terbentuk nanti merupakan kerajaan yang lebih kukuh dukungannya. Kita akan lihat semua kemungkinan. (Termasuk kerjasama dengan PH dan DAP) semua kemungkinan, itu tertakluk kepada keputusan muktamad parti,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini hari ini berikutan kemelut politik Perak.
Ahmad Zahid berkata, beliau akan mempersembahkan nama pemimpin dari UMNO untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar kepada Sultan Perak.
Menurutnya, Sultan Perak akan menentukan secara mutlak siapa yang akan jadi Menteri Besar yang baharu.
“Saya akan mencadangkan saja dan akan menyerahkan nama calon kepada baginda secepat mungkin. Itu hak mutlak tuanku tapi saya kena memuktmadkan perbincangan dahulu dengan beberapa pihak,” katanya.
Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/umno-tak-tolak-kerjasama-dengan-ph-dap/